Sejarah Eropah terbahagi kepada tiga zaman iaitu Zaman Klasik (8000 SM - 6 TM), Zaman Pertengahan (476 TM - 1492 TM) dan Zaman Moden (1500 TM - 1800 TM). Penjara yang ada pada Zaman Pertengahan merupakan penjara sementara dan biasanya dibina di kawasan istana, kubu dan ruang bawah tanah bangunan awam. Kemampuan seseorang untuk memenjara dan mengenakan hukuman mati ke atas orang lain merupakan lambang kekuasaaan dimilikinya dalam masyarakat. Satu lagi bentuk hukuman yang dikenakan kepada seseorang adalah hukuman perhambaan mendayung (galley) yang melibatkan banduan dirantai sesama mereka di dasar kapal. Mereka dipaksa mendayung di kapal perang atau kapal dagang.
Keadaan di penjara-penjara Eropah masih menggunakan pendekatan kekerasan sehinggalah kerabat diraja Inggeris mula melibatkan diri dengan sistem keadilan yang wujud dalam masyarakat mereka. Raja Henry II memerintahkan pembinaan penjara pertama bersama-sama dengan draf pertama sistem undang-undang Inggeris yang menggunakan konsep juri pada tahun 1166. Salah satu undang-undang penjara yang paling bersejarah telah diperkenalkan pada 1215, apabila Raja John menandatangani Magna Carta yang menyatakan tidak ada orang yang boleh dipenjarakan tanpa perbicaraan.
Menurut Sorin Adam Matei (2016), masyarakat pada Zaman Pertengahan sangat jarang mengenakan hukuman penyeksaan fizikal (penjara) atau denda terhadap seseorang yang melakukan kesalahan kerana beberapa sebab. Pertama, disebabkan pemenjaraan melibatkan kos yang tinggi seperti keperluan menyediakan kemudahan, petugas penjara dan birokrasi bagi menguruskan hukuman tersebut. Paling mustahak adalah untuk menyediakan makan dan mengawal banduan. Perbelanjaan seperti itu sememangnya memerlukan pembiayaan daripada seseorang atau badan-badan rasmi. Biasanya pengadilan tempatan diberi tanggungjawab kepada seorang bangsawan yang menampung perbelanjaan pengadilan menggunakan wangnya sendiri. Disebabkan faktor itu juga, lebih baik wangnya tidak dibazirkan.
Kedua, pengadilan di Zaman Pertengahan tidak begitu berminat untuk pemenjaraan disebabkan lebih berminat dengan cara membayar pampasan kepada mangsa dan juga mencegah dengan cara tindakan fizikal. Bagi hakim, hukuman denda dapat menyelesaikan banyak pertikaian. Jika pertikaian tidak dapat diselesaikan, hukuman mutilasi (memotong anggota badan) atau hukuman mati menjadi pilihan. Namun begitu, hukuman berbentuk penyeksaan (torture), mutilasi dan hukuman mati dilakukan dengan teliti. Semua undang-undang hendaklah dipatuhi dan prosedur penghakiman dihormati.
Rujukan:
1) Turning, Patricia (2012). "Competition for the Prisoner's Body: Wardens and Jailers in Fourteenth-Century Southern France". In Classen, Albrecht; Scarborough, Connie (eds.). Crime and Punishment in the Middle Ages and Early Modern Age: Mental-Historical Investigations of Basic Human Problems and Social Responses. Walter de Gruyter. p. 285. ISBN 978-3-11-029458-3. Archived from the original on 2016-06-03.
No comments:
Post a Comment