Istilah penjara diterjemahkan dari bahasa Inggeris iaitu “prison”. Perkataan "prison" pertama kali muncul dalam bahasa Inggeris pada awal abad kedua belas dan berasal dari bahasa Perancis Lama iaitu "prisoun" yang bermaksud penawanan, pemenjaraan, penjara, tawanan atau banduan (1).
Menurut kamus Longman, penjara merupakan sebuah bangunan yang menahan orang sebagai suatu hukuman kerana melakukan sesuatu jenayah, atau sementara mereka menunggu ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan mereka.
Menurut kamus Oxford, penjara merupakan sebuah bangunan yang menahan orang secara sah sebagai suatu hukuman atas sesuatu jenayah yang telah mereka lakukan atau sementara menunggu perbicaraan.
Menurut Wikipedia, penjara adalah tempat kurungan dari pelbagai kemudahan dan kebebasan. Penjara secara umumnya adalah institusi yang diatur pemerintah dan merupakan sebahagian daripada sistem kehakiman dan pengadilan jenayah suatu negara, atau sebagai kemudahan untuk menahan tahanan perang.
Menurut kamus Dewan Edisi Keempat, penjara merupakan tempat atau bangunan penjenayah dikurung sebagai hukuman, bui, jel, kurungan, terongko, tutupan.
Menurut Akta Penjara 1995 (Malaysia), penjara bererti mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, yang diisytiharkan sebagai sesuatu penjara di bawah seksyen 3 dan hendaklah termasuk tanah atau bangunan yang dipunyai atau yang bercantum dengannya dan digunakan oleh banduan (2).
Di Indonesia pada tahun 1963 istilah penjara diubah menjadi lembaga pemasyarakatan. Lembaga pemasyarakatan yang disingkat dengan lapas merupakan tempat atau kediaman bagi orang-orang yang telah dinyatakan bersalah oleh pengadilan bahawa ia telah terbukti melanggar hukum. Lapas juga lebih dikenal oleh masyarakat awam dengan istilah penjara (3).
Di United Kingdom, penjara merupakan tempat menahan banduan seperti mana yang diputuskan oleh mahkamah atau dengan cara lain dia ditahan dalam tahanan sah (4).
Di Amerika Syarikat, penjara dibahagikan kepada dua iaitu jel dan penjara. Jel bermaksud tempat menahan orang yang disabitkan dengan kesalahan dalam jangka pendek iaitu setahun dan ke bawah; dan orang yang sedang menunggu perbicaraan mahkamah. Penjara pula bermaksud tempat menahan pesalah yang dijatuhkan hukuman penjara melebihi setahun.
Kesimpulannya, penjara adalah suatu tempat yang menahan dua golongan orang iaitu mereka yang dihukum penjara oleh mahkamah dan mereka yang sedang menunggu proses perbicaraan di mahkamah.
_______________________________________________________
1) https://www.dailykos.com/stories/2014/11/22/1346639/-Origins-of-English-Words-Associated-with-Prison
2) Akta Penjara 1995, muka surat 10 Bahagian 1, Permulaan.
3) http://scholar.unand.ac.id/32513/2/BAB%20I.pdf
4) https://en.wikipedia.org/wiki/Prisoner
No comments:
Post a Comment