Sunday, September 26, 2021

15. PENGERTIAN PENJARA

Istilah penjara diterjemahkan dari bahasa Inggeris iaitu “prison”. Perkataan "prison" pertama kali muncul dalam bahasa Inggeris pada awal abad kedua belas dan berasal dari bahasa Perancis Lama iaitu "prisoun" yang bermaksud penawanan, pemenjaraan, penjara, tawanan atau banduan (1).

Menurut kamus Longman, penjara merupakan sebuah bangunan yang menahan orang sebagai suatu hukuman kerana melakukan sesuatu jenayah, atau sementara mereka menunggu ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan mereka.

Menurut kamus Oxford, penjara merupakan sebuah bangunan yang menahan orang secara sah sebagai suatu hukuman atas sesuatu jenayah yang telah mereka lakukan atau sementara menunggu perbicaraan.

Menurut Wikipedia, penjara adalah tempat kurungan dari pelbagai kemudahan dan kebebasan. Penjara secara umumnya adalah institusi yang diatur pemerintah dan merupakan sebahagian daripada sistem kehakiman dan pengadilan jenayah suatu negara, atau sebagai kemudahan untuk menahan tahanan perang.

Menurut kamus Dewan Edisi Keempat, penjara merupakan tempat atau bangunan penjenayah dikurung sebagai hukuman, bui, jel, kurungan, terongko, tutupan.

Menurut Akta Penjara 1995 (Malaysia), penjara bererti mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, yang diisytiharkan sebagai sesuatu penjara di bawah seksyen 3 dan hendaklah termasuk tanah atau bangunan yang dipunyai atau yang bercantum dengannya dan digunakan oleh banduan (2).

Di Indonesia pada tahun 1963 istilah penjara diubah menjadi lembaga pemasyarakatan. Lembaga pemasyarakatan yang disingkat dengan lapas merupakan tempat atau kediaman bagi orang-orang yang telah dinyatakan bersalah oleh pengadilan bahawa ia telah terbukti melanggar hukum. Lapas juga lebih dikenal oleh masyarakat awam dengan istilah penjara (3).

Di United Kingdom, penjara merupakan tempat menahan banduan seperti mana yang diputuskan oleh mahkamah atau dengan cara lain dia ditahan dalam tahanan sah (4).

Di Amerika Syarikat, penjara dibahagikan kepada dua iaitu jel dan penjara. Jel bermaksud tempat menahan orang yang disabitkan dengan kesalahan dalam jangka pendek iaitu setahun dan ke bawah; dan orang yang sedang menunggu perbicaraan mahkamah. Penjara pula bermaksud tempat menahan pesalah yang dijatuhkan hukuman penjara melebihi setahun.

Kesimpulannya, penjara adalah suatu tempat yang menahan dua golongan orang iaitu mereka yang dihukum penjara oleh mahkamah dan mereka yang sedang menunggu proses perbicaraan di mahkamah. 
_______________________________________________________

1) https://www.dailykos.com/stories/2014/11/22/1346639/-Origins-of-English-Words-Associated-with-Prison

2) Akta Penjara 1995, muka surat 10 Bahagian 1, Permulaan.

3) http://scholar.unand.ac.id/32513/2/BAB%20I.pdf

4) https://en.wikipedia.org/wiki/Prisoner

Thursday, December 24, 2020

14. AKTA PENGANGKUTAN 1717 (TRANSPOTRATION ACT 1717)

Akta Pengangkutan 1717 adalah Akta Parlimen Britain yang mewujudkan sistem terkawal dan terikat untuk mengangkut penjenayah ke tanah jajahan di Amerika Utara untuk perkhidmatan yang diberi jaminan, sebagai hukuman bagi mereka yang disabitkan atau dikenakan di Great Britain, tidak termasuk Scotland. Akta itu, (4 Geo. 1 c. 11) telah lama disebut Suatu Akta untuk mencegah Perompakan, Pencurian, dan Jenayah Berat lain, dan untuk Pengangkutan Jenayah yang lebih berkesan, dan Pengeksport Wool haram; dan untuk mengisytiharkan Undang-Undang mengenai beberapa Perkara yang berkaitan dengan Lanun. 

Akta itu menetapkan hukuman pengangkutan selama tujuh tahun sebagai hukuman bagi orang yang disabitkan dengan jenayah lebih ringan (mereka yang mendapat faedah pendeta), dan hukuman empat belas tahun untuk jenayah yang lebih serius, sebagai ganti hukuman mati. Penamatan hukuman mempunyai kesan daripada pengampunan; hukuman bagi mereka yang balik sebelum tamat adalah kematian. Dianggarkan 50,000 banduan (wanita, lelaki dan kanak-kanak) dibawa ke tanah jajahan Amerika Britain. [1] 

Akta tersebut menetapkan bahawa peniaga dan yang lain dapat mengikat kontrak dengan banduan angkutan, setelah memberikan jaminan bahawa pengangkutan akan dibuat dan jangka masa perkhidmatan akan selesai. Untuk melaksanakannya, akta tersebut mengisytiharkan bahawa kontraktor itu mempunyai harta dan kepentingan dalam pengangkutan dan perkhidmatan banduan. Pentingnya di bawah seksyen lima, dan setelah memperhatikan banyak pemuda yang menganggur "mengintai" tentang London dan tempat lain, menginginkan pekerjaan, dan sebaliknya tertarik untuk melakukan jenayah "jika tidak diperuntukkan," Akta Pengangkutan termasuk bahawa pedagang dan yang lain juga dapat berkontrak dengan 15-20 kanak-kanak berusia setahun, yang bersedia diangkut dan menjalani perkhidmatan berkontrak sehingga lapan tahun. 

Bahagian lain dari akta tersebut menetapkan tindakan yang lebih tegas terhadap pembelian barang curi, menjadikan hukuman empat belas tahun walaupun tindakannya bukanlah membantu pencurian; [2] menjatuhkan hukuman pengangkutan selama tujuh tahun bagi mereka yang dipenjara atau melanggar, larangan jangka masa lama ke atas mengeksport bulu yang melanggar akta perdagangan. Tidak berkaitan dengan pengangkutan, bahagian tujuh menekankan penindasan lanun. Hukuman mati untuk beberapa jenis perlanunan dihapuskan oleh Akta Perlanunan 1837, yang mengekalkan hukuman mati bagi perlanunan dengan niat membunuh. Hukuman mati bagi perlanunan dihapuskan sama sekali pada tahun 1998. Akta 1717 dimansuhkan pada tahun 1993. 


Kesan Akta Pengangkutan 1717 Kepada Sistem Penjara Di Tanah Melayu 

Langkah mewujudkan Akta Pengangkutan 1717 telah membolehkan migrasi paksaan dilakukan ke atas banduan di India secara besar-besaran oleh pihak British ke tanah jajahan di Asia. Antara negeri yang menerima kesan besar ini pada peringkat awal adalah Tanah Melayu, khususnya Negeri-Negeri Selat. Undang-undang ini juga digunakan bagi memenuhi kepentingan utama pihak British mengejar keuntungan ekonomi di tanah jajahan baharu. Akta tersebut memberi kesan terus terhadap cara banduan diurus. 

Memandangkan Akta Pengangkutan 1717 mempunyai kepentingan ekonomi menyebabkan tiada penekanan terhadap disiplin, pemantauan dan pengasingan. Kebanyakan Penal Settlements seperti di Pulau Pinang bertukar menjadi ‘neraka’ serta insiden bunuh diri berlaku menggambarkan banduan mengalami tekanan dan tidak mempunyai hak. Seterusnya, Melaka dan Singapura juga diperkenalkan dengan Penal Settlement di antara tahun 1825-1860. Akta Pengangkutan 1717 telah digunakan secara maksimum oleh Syarikat India Timur (EIC) untuk mengangkut banduan dari India ke tanah jajahannya di Kepulauan Melayu. Pada tahun 1796, Francis Light telah berjaya memajak Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. 

Keadaan itu telah membawa kesan besar terhadap kelahiran sistem penjara moden di Tanah Melayu. Pulau Pinang diperlukan untuk menjadi pangkalan tentera laut British di Asia Tenggara sebagai menjamin perjalanan kapal dagang mereka untuk sampai ke negara China. Apabila berjaya mendapatkan Pulau Pinang, Francis Light telah memulakan langkah menjadikan pulau berkenaan sebagai pangkalan. Dalam masa yang sama Francis Light juga terlibat secara langsung dengan rancangan EIC yang mahu menjadikan tanah jajahan mereka yang baharu sebagai tempat buangan banduan dari India. 

Faktor kedua yang membolehkan EIC mengangkut banduan, adalah kerana syarikat ini telah menubuhkan Penal Settlement di kawasan pertapakan mereka. Penal Settlement yang pertama di Asia bagi menempatkan banduan dari India ialah di Bangkahulu pada tahun 1787, diikuti oleh Pulau Pinang (1790), Pulau Andaman (1793), Melaka dan Singapura (1825). Pihak berkuasa kehakiman di Negeri-Negeri Selat dan wilayah Burma juga turut menggunakan hukuman menghantar keluar banduan dari penjara-penjara seluruh India. Antara penjara yang terlibat seperti penjara di Alipur (berhampiran Calcutta), Bombay dan Madras. Penghantaran banduan dari India telah membantu mengurangkan kesesakan penjara dan pada masa yang sama menjamin EIC mendapatkan bekalan buruh yang murah. Ketika EIC memperluaskan penguasaan mereka di tanah jajahannya, tenaga banduan amat diperlukan. 



Rujukan: 

1. Ekirch, Roger (1987). Bound for America: The Transportation of British Convicts to the Colonies, 1718-1775. New York: Clarendon/Oxford University Press. ISBN 978-0198202110

2. Beattie, J. M. Crime and the Courts in England 1660 - 1800. Oxford: Clarendon, 1986, pp.189-90. 


4. http://www.prison.gov.my/portal/page/portal/hijau/sejarah#tab31 

Saturday, April 4, 2020

13. PENJARA DAN MASYARAKAT

Penjara merupakan tempat menahan seseorang yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan jenayah atau seseorang yang sedang menunggu untuk perbicaraan. 

Sistem pesalah dikurung atau dipenjarakan di Malaysia dipercayai sudah wujud semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) tetapi belum ada dokumen yang ditemui untuk dijadikan sebagai bahan rujukan bagi memberi gambaran sebenar tentang sistemnya pada ketika itu. 

Sejarah penjara moden bermula dengan terbinanya Penjara Pulau Pinang pada tahun 1849 oleh pihak British yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu. Pada tahun 1879, Penjara Taiping dibina dan merupakan penjara yang kedua tertua di Tanah Melayu. Penjara Taiping dijadikan sebagai pusat yang menempatkan para banduan hukuman lama dari negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kempat-empat negeri tersebut adalah di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Semasa pemerintahan Jepun (1941-1945), institusi penjara juga dijadikan sebagai tempat menahan tawanan perang. Dalam tempoh peperangan itu kesemua dokumen dan rekod berkaitan dengan pengurusan banduan telah musnah.


Penjara Pudu

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Ibu Pejabat Penjara Tanah Melayu ditubuhkan bertujuan mentadbir keseluruhan penjara di seluruh Tanah Melayu. Pada tahun 1952, Ordinan Penjara digubal dan diikuti dengan Peraturan Penjara pada tahun 1953. Tahun 1957, merupakan tahun kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Pesuruh Jaya Penjara yang pertama telah dilantik untuk mengendalikan pentadbiran semua penjara di Persekutuan Tanah Melayu. 

Apabila berlakunya pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Jabatan Penjara Tanah Melayu digantikan dengan nama Jabatan Penjara Malaysia merangkumi pentadbiran penjara bagi Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Pada 2 November 1995, Akta Penjara 1995 dikuatkuasakan bagi menggantikan Ordinan Penjara 1952 dan pada 1 September 2000, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dikuatkuasakan bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Penjara 1953.

Penjara merupakan satu tempat penahanan yang ditakuti oleh masyarakat kerana ia merupakan tempat mengurung orang-orang yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah. Ia dikelilingi oleh tembok dan pagar yang tinggi. Penghuni yang berada di situ dikenali sebagai banduan. Mereka tidak boleh keluar dari penjara selagi tarikh pembebasan belum sampai waktunya. Pergerakan mereka sangat terbatas dan mereka dikawal pada setiap masa. Sakit atau demam yang mereka alami tidak lagi dapat ditemani oleh keluarga tersayang untuk merawat dan memberi ubat. Komunikasi dengan keluarga terbatas. Setiap waktu mereka menghitung hari menunggu saat pembebasan walaupun mereka bukannya didera tetapi disebabkan oleh faktor kebebasan.

Akan tetapi kenapakah masih terdapat segelintir kecil banduan yang dibebaskan dari penjara masih melakukan jenayah sehingga akhirnya mereka kembali semula ke penjara. Perkara ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, akibat kelemahan dan sikap banduan itu sendiri yang masih tidak mahu insaf atau berubah. Kedua, keluarga enggan menerimanya kembali kerana malu dengan status anak mereka sebagai bekas banduan. Ketiga, pengaruh rakan-rakan. Pada mulanya ia berazam untuk berubah tetapi akhirnya terpaksa beralah kerana kuatnya pengaruh dan desakan rakan-rakan sekeliling. Keempat, setengah daripada majikan tidak mahu mengambil bekas banduan untuk bekerja dengan mereka. Kelima,  masyarakat memandang negatif kepada bekas banduan. Keenam, desakan kos hidup yang tinggi dan tidak mahu berdikari. 

Berdasarkan faktor di atas, akhirnya mereka melakukan kesalahan jenayah dan dihukum penjara. Kedatangan mereka pada kali kedua atau beberapa kali tetap diterima oleh pihak berkuasa penjara disebabkan mereka adalah tetamu yang tidak undang.


Walaupun ramai masyarakat melihat penjara sebagai satu tempat yang menakutkan dan kalau boleh mereka tidak inginkan penjara itu wujud atau berada di kawasan mereka namun mereka memerlukan penjara. Ini kerana penjara merupakan tempat yang mengasingkan penjenayah-penjenayah yang melakukan pelbagai kesalahan seperti mencuri, merompak, merogol, mengedar dan menyalahguna dadah, kongsi gelap, samseng jalanan, ragut dan sebagainya. Akibatnya masyarakat merasa kehidupan mereka lebih selamat dan dilindungi dengan adanya penjara. 

Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak berkuasa penjara supaya banduan yang berada di dalam penjara dijaga dengan selamat dan dapat diberi bimbingan dan pemulihan yang berkesan serta dapat berdikari apabila dibebaskan. 

Pentadbiran penjara harus memainkan peranan yang lebih berkesan bagi memenuhi harapan masyarakat walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan masalah seperti kesesakan dan kekurangan kakitangan.  

Kesimpulannya, penjara berperanan memberi perlindungan kepada masyarakat dengan menyediakan penahanan yang selamat dan melaksanakan program pemulihan yang berkesan ke atas pesalah atau banduan.

12. MAHKAMAH

Mahkamah merupakan salah satu komponen utama selain polis dan penjara dalam sistem keadilan jenayah. Pihak utama yang terlibat dalam sistem mahkamah ialah hakim, pendakwa, tertuduh, saksi dan peguam bela. Hakim akan membuat keputusan atau penghakiman sama ada tertuduh itu bersalah atau tidak. Jika didapati tidak bersalah, tertuduh akan dilepaskan dan jika didapati bersalah, hakim mungkin akan menjatuhkan hukuman denda, pusat kehadiran wajib atau penjara. Kadar denda atau tempoh hukuman adalah tertakluk kepada bidang kuasa hakim di sesebuah mahkamah. 

Di Malaysia, mahkamah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut: 

a) Mahkamah Atasan 

Mahkamah atasan mengandungi mahkamah persekutuan, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi. 

i) Mahkamah Persekutuan 

Mahkamah Persekutuan adalah kategori yang paling tinggi dalam sistem mahkamah di Malaysia. Ia mempunyai kuasa untuk membicarakan mana-mana kes rayuan atau kes sivil yang hukuman telah pun dijatuhkan oleh mahkamah rayuan.

Keanggotaan : 

Ketua Hakim Negara 
Presiden Mahkamah Rayuan 
Hakim-hakim Negara 
Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan 

Bidang Kuasa: 

Sivil - Sebarang kes rayuan yang tuntutan lebih daripada RM250,000 

Jenayah - Sebarang kes rayuan bagi sebarang kesalahan 

Kuasa Eksekutif: 

Untuk memulakan perbicaraan bagi kes-kes kesahihan akta daripada parlimen dan enakmen daripada dewan undangan negeri Kuasa untuk memberi nasihat perundangan kepada YDP- Agong 

Ciri-ciri Perundangan: 
Ini merupakan mahkamah rayuan tertinggi 
Hanya membicarakan kes-kes rayuan dari mahkamah rayuan 
Minimum tiga orang hakim bagi suatu perbicaraan 
Boleh membatalkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah 

ii) Mahkamah Rayuan 

Mahkamah rayuan umumnya membicarakan semua kes rayuan sivil terhadap keputusan mahkamah tinggi, kecuali perintah atau keputusan mahkamah yang dibuat melalui persetujuan. Untuk kes-kes yang melibatkan tuntutan melebihi RM10,000.00 keputusan mahkamah atau perintah yang berkait dengan kos sahaja; rayuan yang berkenaan dengan keputusan hakim dalam kamar bicara terhadap saman interplider tentang fakta-fakta yang tidak dipertikaikan; kebenaran mahkamah rayuan harus diperoleh lebih dahulu. Mahkamah rayuan juga membicarakan rayuan-rayuan keputusan kes jenayah mahkamah tinggi.

Keanggotaan: 
Presiden Mahkamah Rayuan 
Hakim - hakim mahkamah rayuan 

Bidang Kuasa: 
Sivil - Kes-kes rayuan yang nilai tuntutan melebihi RM 250,000.00 
Jenayah - Semua kes 

Ciri-ciri Perundangan: 
Tidak mempunyai bidang kuasa asal (tidak boleh memulakan perbicaraan bagi sesuatu kes) 
Kesemua kes untuk dibicarakan adalah kes yang dirayu dari mahkamah tinggi 
Mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan mahkamah tinggi 

iii) Mahkamah Tinggi 

Mahkamah tinggi mempunyai bidang kuasa penyeliaan dan pengubahan keputusan semua mahkamah bawahan, serta juga bidang kuasa untuk membicarakan semua rayuan daripada bahkamah bawahan, baik kes sivil mahupun kes jenayah. Mahkamah tinggi mempunyai bidang kuasa sivil yang tidak terhad, dan umumnya membicarakan kes-kes yang tuntutannya melebihi RM1,000.00, selain daripada kes-kes yang melibatkan kemalangan kenderaan bermotor, penderitaan, dan pertikaian antara tuan rumah dan penyewa. 

Mahkamah ini juga membicarakan kes-kes yang berkait dengan: kesahan atau pembubaran perkahwinan (perceraian) dan perkara-perkara suami isteri; kemuflisan dan perkara-perkara berkait dengan penggulungan syarikat; penjagaan kanak-kanak; pemberian kenyataan sah wasiat, wasiat, dan surat kuasa mentadbir estet; injunksi, pelaksanaan tertentu (specific performance), atau pembatalan kontrak; kesahan individu. 

Mahkamah tinggi mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad terhadap semua kes jenayah selain daripada perkara-perkara yang melibatkan undang-undang Islam. Kes-kes dibicarakan oleh seorang hakim yang tunggal dalam mahkamah tinggi, atau oleh seorang pesuruhjaya kehakiman. Sedangkan hakim-hakim mahkamah tinggi diberikan perlindungan jawatan (sila lihat Krisis Perlembagaan Malaysia 1988), para pesuruhjaya kehakiman dilantik untuk penggal dua tahun dan tidak menerima perlindungan yang sama di bawah Perlembagaan.

Keanggotaan: 
Hakim Besar 
Hakim-hakim mahkamah tinggi 
Pesuruhjaya kehakiman ( orang-orang yang mempunyai kelayakan sama seperti hakim tetapi perlantikan bersifat sementara 

Bidang kuasa: 

Sivil - Tuntutan nilai mesti lebih dari RM 10000 

Jenayah - Sebarang kes 

Eksekutif: 

Membicarakan kes-kes yang melibatkan hukuman mati 
Membicarakan sebarang kes yang terletak diluar bidang kuasa mahkamah² rendah. 
Kesalahan warganegara dan bukan warganegara diatas kapal terbang yang didaftarkan di Malaysia 
Kesalahan warganegara dan bukan warganegara di ruang udara atau perairan Malaysia 

Ciri-ciri perundangan: 

Mahkamah tinggi mempunyai kuasa untuk membicarakan kes-kes rayuan dari empat mahkamah iaitu mahkamah sesyen, mahkamah majistret, mahkamah persekutuan dan mahkamah juvenil 
Boleh memberi nasihat dan menyemak rekod-rekod mahkamah rendah 
Boleh membatalkan keputusan mahkamah-mahkamah rendah 
Hakim mahkamah tinggi Sabah dan Sarawak akan menjadi hakim dalam mahkamah bumiputera 
Boleh mengeluarkan injunksi 



Rujukan: 




11. JENAYAH

Definisi Jenayah

Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi atau melanggar undang-undang yang wujud di sesuatu tempat atau negara. Konsep jenayah agak berbeza antara sesebuah masyarakat dengan sesebuah masyarakat yang lain terutamanya dari segi perbezaan agama, adat resam, ideologi dan budaya. Misalnya, minum arak merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang di negara Islam dan sebaliknya ia tidak menjadi satu kesalahan jika perbuatan itu dilakukan di negara bukan Islam. Walau bagaimanapun terdapat satu persamaan di seluruh dunia tentang konsep jenayah iaitu semua negara bersetuju bahawa kegiatan-kegiatan seperti mencuri, merompak, merogol, menculik, mengedar dadah dan membunuh merupakan satu jenayah.

Penjenayah merupakan panggilan kepada seseorang yang melakukan jenayah. Contohnya seseorang yang mencuri, merompak, merogol atau membunuh adalah dikategorikan sebagai penjenayah. Kesemua negara di dunia meletakkan harapan yang tinggi dan setengahnya menjadikan agenda utama negara untuk mengurangkan kadar jenayah. Ini kerana salah satu kriteria utama dalam menentukan kemakmuran sesebuah negara ialah kadar jenayah yang rendah.


Jenis-Jenis Jenayah

Jenayah yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah berbeza kerana ia banyak dipengaruhi oleh persekitaran sosial, ekonomi dan politik dalam negara tersebut. Pada umumnya jenis-jenis jenayah yang wujud adalah seperti di bawah:

a) Jenayah ke atas manusia seperti membunuh dengan niat atau tanpa niat, mencedera, menyiksa, menyakit, meragut,  mendera, menculik, mencabul dan merogol.

b) Jenayah ke atas harta benda seperti mencuri, menyimpan barang curi, merompak, merosak, menghilang dan melupus.

c) Jenayah ke atas negara seperti mengancam, menyerang, menderhaka, menghasut dan mengkhianati.

d) Jenayah komputer dan internet seperti mengubah atau menghilangkan rekod dan data, mencuri, memalsu, menyerang melalui virus dan cetak rompak.

e) Jenayah harta intelek seperti hakcipta, rekacipta, rekabentuk, paten, simbol, karya muzik, satera dan seni, jenama, imej dan cap dagangan.

f) Jenayah perang seperti menganiayai atau menembak mati tawanan perang, orang awam, pengibar bendera putih, pengusiran orang awam, memusnahkan tanpa asas sesebuah kampung, pekan atau bandar, membinasakan sesuatu keperluan atau kemudahan yang tidak berasaskan kepada keperluan ketenteraan.


g) Jenayah seksual seperti gangguan seksual, cabul, rogol, liwat, zina, sumbang mahram dan homoseks

h) Jenayah kolar putih atau orang berstatus tinggi seperti rasuah, penipuan, penyelewengan, menggelapkan wang, pecah amanah dan pemalsuan dokumen atau identiti.


Jenayah Dalam Islam

Jenayah dalam Islam dikaitkan dengan pelanggaran hukum dan melibatkan dosa. Hukuman yang dikenakan kepada pelanggar hukum lebih kepada penyucian dosa terhadap apa yang ia lakukan. Terdapat tiga jenis jenayah dalam Islam iaitu:

a) Jenayah hudud iaitu pelanggaran hak Allah seperti membunuh, mencuri, merompak, murtad, berzina, menuduh berzina, minum arak dan fitnah.

b) Jenayah qisas iaitu mencedera atau membunuh seseorang.

c) Jenayah takzir iaitu suatu kesalahan yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas dan kesalahan yang mengganggu ketenteraman awam misalnya khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab, mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengambil atau mengedar dadah dan sebagainya.


Sebab-Sebab Berlaku Jenayah

Secara umumnya jenayah berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut:

a) Niat dan peluang. Seseorang yang sudah mempunyai niat untuk melakukan jenayah akan bertindak ke arah itu sebaik sahaja ia mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

b) Kemiskinan hidup. Seseorang sanggup melakukan jenayah kerana didorong oleh faktor kemiskinan hidup yang mereka hadapi. Mereka terpaksa melakukan jenayah kerana ingin menampung belanja hidup yang lebih tinggi berbanding dengan pendapatan yang diperolehi.

c) Tamak.   Orang  tamak   selalunya tidak bersyukur dengan apa   yang ia   miliki    dan sentiasa mahu memenuhi keinginan yang tidak terbatas walau pun di luar kemampuannya. Ini menyebabkan mereka mudah untuk melakukan jenayah. 

d) Ketagihan. Penagih alkohol atau dadah mudah melakukan jenayah kerana ingin mendapatkan alkohol atau dadah disebabkan harga kedua-dua bahan tersebut adalah tinggi sedangkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membelinya.

e) Kesabaran. Orang yang tidak sabar lebih mudah untuk melakukan jenayah berbanding dengan orang yang sabar. Mereka biasanya muda mengikut perasaan dan tidak berfikir semasak-masaknya sebelum bertindak.

f) Nafsu. Ada orang dapat mengawal nafsu seks dengan baik tetapi ada juga yang sukar mengawalnya. Golongan yang gagal mengawal lebih mudah untuk melakukan jenayah terutamanya rogol atau gangguan seksual.

g) Pengaruh televisyen dan filem. Mungkin pada mulanya mereka menonton televisyen atau filem sebagai hiburan semata-mata tetapi lama-lama kelamaan timbul minat untuk meniru aksi yang dilihatnya termasuk juga perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti mencuri atau merompak.

h) Kurang pendidikan agama. Bagi mereka yang kurang pendidikan agama dan tidak kuat kepada pegangan agama serta kurang beramal mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk melakukakan jenayah berbanding dengan mereka yang kuat beragama.


Undang-Undang Jenayah

Undang-undang jenayah ialah undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan jenayah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang yang melanggarnya. Ia bertujuan untuk mengawal dan mengurangkan jenayah. Masyarakat tidak dapat menjalani kehidupan yang harmoni sekiranya tidak ada undang-undang yang mengawal jenayah. Selain undang-undang jenayah terdapat juga undang-undang lain di Malaysia seperti undang-undang sivil dan undang-undang syariah (khususnya bagi penduduk Islam). Sumber undang-undang jenayah di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu:

a. Kanun Kesiksaan (Penal Code)

b. Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code)


Cara Mengurangi  Kadar Jenayah

Agak mustahil jenayah dapat dihapuskan tetapi ia boleh dikurangkan. Untuk mengurangkan jenayah memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak seperti masyarakat,  kerajaan, sistem pendidikan, penguatkuasa dan penggunaan  teknologi. Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah ialah:

a) Komitmen ketua negara. Ketua negara seperti perdana menteri atau presiden yang prihatin dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam usaha mengurangi jenayah boleh menyebabkan kadar jenayah berkurang. Ini kerana seluruh jentera dan agensi atau jabatan yang terlibat akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi hasrat ketua negara itu.

b) Kestabilan ekonomi. Perkembangan ekonomi ditentukan oleh kedudukan pendapatan negara, pengangguran, inflasi dan hutang negara. Kadar jenayah akan berkurang jika ekonomi sesebuah negara berkembang dengan baik dan stabil.

c) Penyalahgunaan dadah. Kebanyakan kes jenayah seperti mencuri, menyamun dan merompak mempunyai kaitan yang rapat dengan penyalahgunaan dadah. Pengagih yang menghadapi masalah ketagihan yang serius biasanya sanggup melakukan apa sahaja termasuk jenayah asalkan mereka dapat bahan tersebut. Jenayah boleh berkurang apabila masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat dapat dikurangkan.

d) Agensi penguatkuasa. Terdapat pelbagai agensi penguatkuasa seperti polis, kastam, badan anti rasuah, imigresen, penjara dan lain-lain memainkan peranan penting dalam usaha mengurangi kadar jenayah. Kecekapan sesebuah agensi adalah bergantung kepada sumber-sumber yang dimiliki seperti tenaga kerja, kecekapan sistem pengurusan, peruntukan kewangan, latihan dan peralatan teknologi. Semakin berkesan setiap agensi penguatkuasa memainkan peranan masing-masing bererti semakin berkesan pula usaha mengurangi  kadar jenayah.

e) Sistem pendidikan. Menanam kesedaran dan membentuk masyarakat yang harmoni perlu bermula dari sekolah rendah hinggalah di peringkat pusat pengajian tinggi. Ketidakberkesanan dalam sistem pendidikan dalam mencorak anak-anak untuk menjadi warga negara yang berguna boleh menyebabkan kadar jenayah lebih tinggi berlaku. Sistem pendidikan yang digubal dan dilaksanakan hendaklah juga mengambilkira keperluan utnuk mengurangkan kadar jenayah.


Rujukan:

1) http://anelyza.blogspot.com/2014/05/karangan-3-punca-dan-langkah-menangani.html
2) http://keligit97lense.blogspot.com/2011/06/faktor-faktor-peningkatan-kes-jenayah.html


Friday, February 14, 2020

10. TUJUAN PENJARA

Penjara mempunyai empat tujuan utama iaitu pembalasan (retribution), pengasingan (incapacitation), pencegahan (deterrence) dan pemulihan (rehabilitation).

1) Pembalasan bermakna hukuman yang merupakan balasan kepada mereka yang melakukan jenayah terhadap masyarakat. Berani buat jenayah beranilah menanggung balasan. Hak-hak pembebasan mereka akan terlucut sepanjang tempoh pemenjaraan. Setiap kesalahan jenayah yang dilakukan harus mendapat pembalasan yang setimpal dengan kesalahan tersebut. 

2) Pengasingan merujuk kepada memisahkan penjenayah daripada masyarakat dan ini akan menghilangkan keupayaan mereka untuk melakukan jenayah yang boleh memudaratkan masyarakat. Penjenayah yang meringkuk dalam penjara akan memberi kesan baik kepada masyarakat akibat pengasingan orang yang terlibat dengan jenayah itu. 

3) Pencegahan bertujuan menghindari seseorang daripada melakukan jenayah pada masa hadapan. Penjara diharap dapat menjadikan seseorang itu berfikir dua kali sebelum bertindak melakukan kesalahan jenayah. Mungkin seseorang yang mempunyai niat dan peluang untuk melakukan jenayah tiba-tiba mengubah fikirannya disebabkan khuatir dengan hukuman penjara. 

4) Pemulihan dirujuk kepada program pemulihan yang dilakukan oleh pihak berkuasa penjara ke atas pesalah-pesalah yang ditahan dalam penjara. Tujuannya supaya mereka berubah sikap daripada seorang penjenayah kepada warganegara yang patuh kepada undang-undang atau tidak lagi mengulangi kesalahan jenayah dan kembali ke pangkuan masyarakat sebagai warganegara yang berguna. Antara program yang boleh disediakan seperti pendidikan, kemahiran pertukangan, bimbingan agama, kaunseling, psikologi dan khidmat masyarakat.

Tuesday, November 26, 2019

9. INTEGRITI DALAM ORGANISASI

PENGENALAN

Kemajuan negara bergantung kepada masyarakatnya. Semakin maju masyarakat semakin tinggi sumbangan yang dapat diberikan kepada negara. Masyarakat maju bukan sahaja berjaya mewujudkan perpaduan bangsa dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga kerana mempunyai sifat-sifat integriti yang tinggi. Integriti adalah asas dan kunci kepada kehidupan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian rakyat dan kemakmuran negara. 


PEGERTIAN INTEGRITI 

Integriti berasal dari bahasa Latin iaitu interger yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Menurut Andreas Harefa, integriti merupakan tiga kunci yang perlu diamati iaitu mempamerkan kejujuran, memenuhi komitmen dan mengerjakan sesuatu dengan konsisten. Menurut Kamus Dewan (1985), integriti mempunyai dua maksud, pertama integriti bermaksud kejujuran dan kedua, integriti bermaksud keadaan sempurna dan utuh. Integriti bererti melakukan sesuatu perkara yang betul walaupun pada ketika tiada siapa melihat (C.S.Lewis). Berdasarkan Pelan Integrasi Maktab Koperasi Malaysia (2017-2020), integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu iaitu sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi dan boleh dipercayai. Integriti berkait rapat dengan etika. 


KATEGORI INTEGRITI

Terdapat dua kategori integriti iaitu integriti individu dan integriti organisasi:

1) Integriti Individu 

Integriti individu merupakan suatu tindakan seseorang selaras dengan apa yang dikatakan itu dikotakan; selaras dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; dan selaras dengan kepentingan umum. Individu dikatakan berintegriti apabila tindakannya itu dilakukan secara konsisten. 


2) Integriti Organisasi

Integriti organisasi merupakan pelaksanaan pematuhan kod etika, piagam pelanggan dan proses kerja oleh anggota dalam sesebuah organisasi. Pematuhan tersebut berterusan oleh anggotanya sehingga menjadi kebiasaan lantas berjaya membentuk budaya kerja.


KEPENTINGAN INTEGRITI

Aspek integriti merupakan unsur penting yang perlu dimiliki dan diamalkan oleh setiap pekerja tanpa mengira organisasi itu besaiz besar atau kecil. Integriti penting kerana boleh memberi kesan kepada pencapaian matlamat organisasi. Antaranya adalah seperti di bawah:

1) Visi Dan Misi

Visi dan misi organisasi lebih mudah untuk dicapai jika tahap integriti di kalangan pekerja adalah tinggi. Pekerja yang tidak berintegriti boleh menjadi penghalang kepada visi dan misi yang telah ditetapkan oleh organisasi. Hal ini boleh melambat atau membantutkan segala perancangan untuk pencapaian visi dan misi tersebut.


2) Produktiviti

Produktiviti merupakan hubungan antara input dan output. Input mengandungi pengurus, pekerja, modal, tanah, bangunan, kelengkapan, peralatan dan teknologi. Ouput adalah hasil keluaran berupa barangan atau perkhidmatan. Produktiviti akan meningkat jika input yang sama dapat mengeluarkan output yang lebih tinggi dari sebelumnya atau input yang kurang dapat mengeluarkan output yang sama banyak dengan sebelumnya. Produktiviti akan bertambah apabila pekerja-pekerja barada di bawah tahap integriti yang tinggi. Tahap integriti rendah pula boleh menjejas atau mengurangkan produktiviti organisasi.


3) Kualiti

Kualiti merujuk kepada kepuasan pelanggan yang menggunakan produk kita sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Setiap organisasi mempunyai matlamat untuk sentiasa menghasilkan produk yang berkuali. Ini kerana semakin tinggi kualiti produk itu semakin tinggi pula jualan dapat dihasilkan sehingga membolehkan peningkatan keuntungan. 


4) Keseronokan Bekerja

Bekerja dalam sesebuah organisasi melibatkan intraksi antara pekerja dengan pekerja dari semua peringkat pengurusan. Amalan integriti di kalangan mereka boleh mewujudkan keseronokan bekerja dan semangat kerja berpasukan yang tinggi. Suasana baik seperti ini menjadikan mereka bekerja dengan lebih bertenaga dan setia kepada organisasi. Setiap pekerja yang meninggalkan organisasi akan merugikan organisasi kerana pengambilan baru akan melibatkan penambahan kos.



CIRI-CIRI INTEGRITI

Keutuhan peribadi seseorang terletak kepada ciri-ciri integriti yang dimilikinya. Integriti tidak dapat dinbentuk dalam sehari tetapi merupakan suatu proses yang mengambil masa yang lama. Orang berintegriti perlu memenuhi kriteria yang terkandung dalam ciri-ciri integriti. Ciri-cirinya adalah seperti di bawah:


1) Jujur

Jujur berasal dari perkataan Arab iaitu sidiq yang bererti benar atau berkata benar dan lawannya adalah bohong atau dusta. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, jujur bermaksud lurus hati; tulus; ikhlas. Menurut Agus Wibowo, jujur ditakrifkan sebagai tingkah laku yang berdasarkan usaha menjadikan dirinya orang yang selalu dapat dipercaya dalam kata-kata, tindakan dan pekerjaan. Selaras dengan itu, Nurul Zuriah menyatakan kejujuran adalah sikap dan tingkah laku yang tidak suka berbohong dan menipu, memberitahu apa yang ada dan berani mengakui kesilapan. Jujur boleh diertikan sebagai mengakui, menyatakan atau memberikan maklumat berdasarkan fakta.

Memiliki dan mengamal sifat jujur merupakan teras kepada integriti seseorang. Sekali sahaja kita bersikap tidak jujur sudah memberi impak kepada orang lain, apatah lagi kalau kita melakukannya berkali-kali. Kejujuran sangat berkait rapat dengan kepercayaan. Kita sering mendengar orang berkata, sekali kita suka berbohong, sampai bila-bila pun orang tetap kata kita suka berbohong. Kejujuran mencerminkan kepercayaan orang lain terhadap orang yang bersikap jujur. Dalam organisasi, kakitangan jujur amat diperlukan supaya setiap matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dalam tempoh yang disasarkan. 

Kejujuran mempunyai banyak kelebihan. Orang jujur lebih disukai dan diterima oleh keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Ini disebabkan sifat semulajadi manusia lebih suka kepada orang jujur atau bercakap benar. Pekerja yang jujur akan mendapat tempat di hati pihak pengurusan atasan. Peluang kenaikan pangkat lebih berpihak kepada orang jujur disebabkan kepercayaan pihak atasan itu. Dalam perniagaan, peniaga yang jujur sama ada jujur dari segi bicara, tindakan, kualiti, harga dan tarikh luput produk boleh mempengaruhi respon pembeli atau pelanggan. Pelanggan akan menjadi setia untuk membeli produk peniaga yang memiliki sifat kejujuran.


2) Amanah

Amanah adalah sesuatu yang dipercayakan kepada seseorang misalnya diserahkan sesuatu untuk disimpan (DBP, 1996). Amanah adalah suatu tanggungjawab yang diberikan sebagai satu prinsip untuk tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pengaruh dan kuasa yang sedia ada (Mumtaz, Norzaini & Mohammed Sani, 2010). Bagi Ahmad Musthafa Al Maraghi, amanah merupakan sesuatu yang perlu dipelihara dan dijaga agar sampai kepada yang berhak memilikinya. 

Orang beramanah bermakna orang yang sangat dipercayai oleh orang lain. Kita tidak boleh mengaku diri sendiri sebagai orang beramanah kerana sifat itu hanya boleh dinilai oleh orang lain. Apa yang perlu kita lakukan ialah dengan sentiasa membuat kerja yang boleh menyebabkan orang percaya kepada kita. Orang lain tidak mudah percaya kepada kata-kata yang kita keluarkan selagi mereka tidak melihat sendiri apa yang kita lakukan. Pemimpin adalah amanah kepada orang yang mereka pimpin. Pemimpin, ketua, pengarah, pentadbir atau pengurus dan sebagainya diamanahkan untuk membangun dan memajukan orang di bawah jagaan mereka. 

Seorang guru yang sentiasa mengajar seperti yang ditetapkan oleh peraturan sekolah tanpa sedikit pun menggunakan waktu untuk kepentingan peribadi akan menjadi guru yang dipercayai atau beramanah oleh orang lain seperti guru besar, rakan pengajar dan pelajar. Pegawai awam merupakan pemegang amanah yang sangat besar. Mereka diberi amanah oleh kerajaan dan masyarakat bagi memastikan segala urusan dan kepentingan masyarakat diurus dengan baik. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan pemecahan amanah dan bertentangan dengan aspirasi masyarakat. Tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan hendaklah berasaskan kepentingan masyarakat bukan kepentingan peribadi.


3) Menghargai Masa 

Masa itu emas, maksudnya sangat berharga. Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Orang berintegriti sangat menjaga dan menghargai masa. Mereka bukan sahaja tidak suka membazir waktu yang diguna untuk dirinya sendiri malah waktu orang lain juga. Biarlah masa yang ada digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan organisasi. Jika kita merupakan pekerja di sebuah agensi kerajaan atau swasta sering membazirkan masa dalam waktu kerja sudah tentu akan menjejaskan produktiviti dan matlamat organisasi tidak mampu dicapai dalam tempoh yang ditetapkan. 

Pekerja yang sentiasa menjaga masa tidak akan melakukan hal-hal negatif berkaitan dengan masa seperti melengah-lengah kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam jangka waktu yang ditetapkan, makan di kantin melebihi tempoh yang ditetapkan, menggunakan telefon untuk membincangkan hal-hal peribadi, bersembang panjang selepas habis mesyuarat, menggunakan internet untuk urusan peribadi dan sebagainya. Orang berintegriti sedar setiap kali berlaku pembaziran masa bukan sahaja boleh menjejaskan prestasinya kerja tetapi juga pekerja lain. 


4) Mengotakan Janji

Setiap kali kita berjanji kita hendaklah menunaikannya. Orang lain akan percayakan kita setelah kita mengotakan apa yang kita janjikan. Seseorang itu dinilai bukan melalui ucapan tetapi melalui tindakannya. Orang berintegriti tidak akan berjanji jika dia tidak mampu menunaikan janjinya. Seorang peniaga boleh kehilangan pelanggan setianya jika berulang kali tidak mengotakan apa yang dijanjikan kepada pelanggan. Keuntungan perniagaan akan terjejas setiap kali kehilangan pelanggan. Seorang pegawai atau pekerja mungkin tidak terpilih dalam kenaikan pangkat disebabkan dia jarang menyiapkan tugasan yang diberi dalam waktu yang dijanjikan. 

Janji melibatkan keyakinan dan harapan oleh seseorang yang kita janjikan. Seorang ayah yang berjanji membeli sebuah basikal pada hujung tahun gagal menunaikannya akan menyebabkan anaknya tidak yakin lagi kepada janji ayahnya. Seorang ketua berjanji untuk menghantar kursus ke Langkawi pada musim cuti sekolah kepada kakitangan tetapi tidak melaksanakan janjinya itu mengakibatkan harapan kakitangan itu musnah dan kecewa. Keyakinan dan harapan di kalangan orang yang dijanjikan itu mesti dijaga supaya orang yang memberi janji itu disifatkan sebagai orang berintegriti.



5) Komited

Seseorang yang beritegriti sangat komited dengan sebarang peranan yang dipikulnya. Jika dia adalah seorang pekerja, dia akan bekerja dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh sesuai dengan peranannya sebagai pekerja. Matlamatnya adalah menyelesaikan apa jua tugas yang diberikan kepadanya tanpa melengah-lengah masa atau menangguhkannya. Peniaga yang membuat pinjaman bank untuk mengembangkan perniagaannya disifatkan sebagai seorang yang komited apabila setiap nilai wang yang digunakan adalah untuk kepentingan perniagaan bukan untuk tujuan kegunaan peribadi. Orang yang tidak komited dengan dirinya bukan setakat merugikan diri sendiri bahkan juga orang lain dan organisasinya. Ini disebabkan tindakan itu boleh menjejaskan produktiviti dan kualiti produk yang dikeluarkan oleh organisasi. 

Pernah berlaku di sebuah restoran nasi kandar mengalami kekurangan pelanggan disebabkan seorang pelanggan telah menviralkan dalam media sosial tentang kekotoran tempat membasuh pinggan-mangkuk. Mereka menggunakan air kotor dari parit untuk membasuh pinggan-mangkuk tersebut. Tindakan sedemikian menggambarkan sikap pekerja dan pengurus atau pemilik yang tidak komited dengan peranan mereka. Pengurusan yang komited pastinya akan sentiasa memastikan proses mencuci menggunakan bahan-bahan termasuk air yang benar-benar bersih.  



6)  Bertanggungjawab 

Setiap pekerja dalam sesebuah organisasi adalah bertanggungjawab kepada organisasinya. Orang berintegriti melihat tanggungjawab kepada organisasinya adalah tanggungjawab semua pihak bukannya terletak pada beberapa orang atau pihak sahaja. Seorang pekerja di unit pembungkusan akan merasakan tanggungjawabnya sama penting dengan pekerja di bahagian penghantaran produk jualan kepada pelanggan. 

Setiap organisasi mempunyai matlamatnya. Pemilik organisasi akan merasa gembira apabila matlamat itu mampu dicapai dalam masa yang ditetapkan. Pencapaian tersebut merupakan satu kejayaan yang diperolehi oleh organisasi. Orang berintegriti tidak akan melihat kejayaan organisasi mencapai matlamat itu adalah milik seseorang atau pihak tertentu sahaja tetapi merupakan kejayaan bersama. Mereka berpegang kepada konsep kebersamaan dalam sebuah pasukan.

Kerugian boleh berlaku pada bila-bila masa dalam perniagaan atau syarikat. Begitu juga dalam perniagaan seperti perkhidmatan perkapalan boleh sahaja berlaku kelewatan menghantar kontena ke pelabuhan yang menyebabkan pelanggan yang menunggu tidak berpuas hati dan menuntut kerugian. Kegagalan seperti itu menyebabkan pemegang saham kecewa dan menyalahkan pekerja-pekerja yang terlibat. Orang yang yang berintegriti misalnya pengarah urusan perkapalan itu tidak akan turut menyalahkan pekerjanya tetapi sedia memikul beban kesusahan dan menyatakan kepada pihak atasan bahawa dia juga bertanggungjawab dengan kelewatan itu. 



7)  Murah Hati  

Bukan semua orang memiliki pengetahuan yang sama kerana ada yang kurang dan lebih. Orang berintegriti sentiasa berkongsi pengetahuan dengan orang lain. Dia merasakan orang lain juga berhak mengetahui apa yang dia tahu. Seorang pegawai yang tahu bagaimana cara hendak menterjemahkan mana-mana bahasa dengan menggunakan "Google Translate" memanggil pekerjanya dan berkongsi pengetahuan itu dengan mereka adalah satu contoh yang menunjukkan dia adalah seorang yang murah hati.  

Dalam mana-mana organisasi akan ada pekerja yang menghadapi masalah seperti tekanan perasaan, kewangan, kesihatan, keluarga dan persekitaran tempat kerja. Pekerja bermasalah memerlukan perhatian dan motivasi daripada orang lain. Orang berintegriti selalu mengambil berat dan bermurah hati terhadap orang lain yang sedang menghadapi masalah. Dia akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu mereka itu. Sekiranya didapati ada pekerjanya yang sakit diwadkan di hospital, dia akan menziarahinya sebagai tanda kebajikan. 

Biasanya terdapat kelab atau persatuan kebajikan dan sukan dalam sesebuah organisasi. Anggota dalam persatuan itu memerlukan orang yang sanggup menyumbangkan tenaganya secara sukarela bagi menjalankan aktiviti yang dirancang. Hanya bebrapa sahaja yang bermurah hati dan sanggup mengorbankan masa untuk menjayakan persatuan itu. Orang berintegriti sentiasa bersedia secara dipilih atau sukarela melibatkan dirinya demi pembangunan kelab atau persatuan. 



8)  Konsisten 

Bersikap baik perlu dilakukan setiap masa dan secara berterusan. Seseorang itu tidak boleh melakukan kebaikan dengan memilih masa atau keadaan. Orang berintegriti tetap dengan sikapnya yang konsisten walaupun dalam situasi senang atau susah. Seorang pengurus besar yang sedang dilanda masalah kemerosotan jualan kereta di kawasan utara negaranya tetap mengendalikan mesyuarat dengan pengurus-pengurusanya dengan sikap yang terbuka dan rasional. 

Produk yang dikeluarkan oleh sesebuah organisasi sama ada oleh agensi kerajaan atau swasta mengandungi dua kategori iaitu barang-barang dan perkhidmatan. Setiap produk perlu kualiti sepanjang masa supaya setiap pelanggan yang menggunakannya berpuas hati. Seorang telefonis tetap menjawab telefon kepada pelanggan dengan nada suara yang lemah lembut dan jelas walaupun pada masa itu dia sedang menghadapi masalah besar dengan suaminya. Sikapnya ini mencerminkan beliau adalah pekerja yang berintegriti. 

Dasar merupakan suatu ketetapan yang diwujud dalam sesebuah organisasi untuk dipegang oleh anggota-anggotanya dalam satu jangka masa yang ditetapkan. Dasar bertujuan menyelaraskan semua keputusan dan aktiviti yang dijalankan bagi memantapkan organisasi dan meningkatkan produktiviti. Orang berintegriti tidak akan merubahkan dasar organisasinya untuk kepentingan peribadi dan sentiasa menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengannya.



9)  Kemanusiaan

Kita berada dalam dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kelompok yang berbeza budaya. Orang berintegriti percaya dengan mengambilkira perbezaan itu akan memberi kesan baik kepada dirinya dan orang lain. Menghormati perbezaan budaya akan mewujudkan perasaan saling hormati menghormati antara satu sama lain dan ini sudah tentu akan mempertingkatkan perpaduan di kalangan individu dalam sesebuah organisasi dan masyarakat.

Empati di kalangan pekerja adalah digalakkan. Apabila kita berdepan dengan pelanggan katakan seorang pesakit demam yang menunggu giliran dipanggil namanya untuk berjumpa doktor. Pesakit itu tentu merasa puas hati jika selama dia menunggu di situ disediakan kemudahan seperti television atau radio bagi mengelakkan kebosanan sepanjang tempoh menunggu itu. Kita boleh melihat dari sudut psikologi iaitu seandainya kita menjadi pesakit itu sudah tentu kita juga akan merasa terhibur sepanjang tempoh penungguan itu.

Pekerja berintegriti sentiasa memiliki nilai kemanusiaan tinggi yang cintakan kedamaian. Sebarang pertelingkahan dan konflik yang boleh menjejaskan keharmonian organisasi akan diselesaikan dengan baik. Ketiadaan kedamaian dalam organisasi bukan sahaja memberi kesan tidak baik dari segi hubungan sesama pekerja tetapi juga boleh menjejaskan kualiti dan produktiviti. Menyintai kedamaian perlu dimiliki oleh semua pekerja bagi meujudkan persekitaran seronok bekerja.


10) Rendah Hati

Persekitaran kerja di kalangan pekerja menjadi lebih menarik dan harmoni apabila setiap pekerja tanpa mengira pangkat mangamalkan sikap rendah hati. Sikap ini perlu merangkumi dalam melayani pelanggan yang berurusan dengan kita. Seorang penumpang menghadapi masalah berkenaan pasport di lapangan terbang. Dia melihat seorang pegawai imigresen dan terus bertanya dan menceritakan masalahnya dan dalam masa yang sama dia tidak tahu yang ditanya itu meupakan pegawai imigresen berpangkat tinggi. Pegawai imigresen itu dengan murah hati dan tenang melayani dan memberi jalan penyelesaian sehingga penumpang itu sangat berpuas hati. 

Sikap diplomasi atau berintraksi dengan cara baik sesama pekerja amat dituntut terutamanya mereka yang berjawatan lebih tinggi ketika berintraksi dengan pekerja bawahannya. Kita tidak perlu meninggi-ninggikan suara untuk menyampaikan sebarang arahan atau maklumat kerana pekerja juga ingin mereka dihormati oleh pihak atasannya. Diplomasi merupakan salah satu ciri-ciri rendah hati yang perlu diamalkan dalam sesebuah organisasi. Seorang pengurus yang selalu bersikap diplomasi dengan pekerjanya bukan sahaja dihormati tetapi boleh menaikkan semangat kerja berpasukan sehingga boleh merpertingkatkan produktiviti.

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan dalam pelbagai aspek seperti tahap pendidikan, pangkat, kekayaan, kebolehan dan rupa. Kelebihan yang ada pada kita tidak perlu kita beritahu atau tunjuk kepada orang lain dengan perasaan bangga. Orang berintegriti tidak akan menonjolkan kelebihannya dan mendedahkan kelemahan pekerja lain dalam apa situasi pun. Kita pernah mendengar keluhan pekerja bawahan yang dimarahi ketuanya yang menyentuh kekurangan bawahannya seperti dengan berkata awak hanya mempunyai kelulusan diploma dan saya mempunyai ijazah sarjana atau master. Awak tidak sebijak saya untuk menyelesaikan masalah itu dan sebab itulah orang suruh kita belajar tinggi-tinggi. Pekerja berintegriti perlu sentiasa bersikap rendah hati bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih ceria.


PENUTUP

Integriti di kalangan semua peringkat pekerja dalam sesebuah organisasi bukan sahaja merupakan amalan penting kepada individu tetapi juga memberi impak kepada organisasi itu sendiri terutamanya dari segi pencapaian matlamat, produktiviti dan kepuasan pelanggan terhadap produk yang dikeluarkan. 






Rujukan:


Manjit Monga, Meaning of Integrity From The Upper Echelons' Perspective, University of South Australia, 2016.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014.


Pelan Integriti Nasional (PIN), 2004

Pelan Integriti Maktab Koperasi Malaysia 2017 - 2020

Nurzatil Ismah Azizan, Sahlawati Abu Bakar, Mariam Abd. Majid, Aza Shahnaz Azman, Mazlina Che Malik, Hairol Nizam Wahid, "Konsep Amanah Menurut Perspektif Hadith," Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. 





Andy Roddick

In May of 2005 American professional tennis player Andy Roddick was playing Fernando Verdasco, of Spain, in the round of 16 at the Italia Masters tennis tournament in Rome, Italy.  Roddick was the number one seed in the tournament and a heavy favorite to win the match and advance. 

8. KEPIMPINAN DALAM PELBAGAI BUDAYA

PENGENALAN

Setiap pemimpin di mana-mana negara ingin menjadikan organisasi atau pertubuhan dalam masyarakat yang dipimpinnya berkembang maju dan makmur. Pada masa ini terdapat sebanyak 195 negara di dunia dengan jumlah penduduk seramai 7.73 bilion. Antara 10 negara yang mempunyai tahap kepelbagaian budaya paling tinggi adalah India, Kanada, Australia, Ethiopia, Papua New Guinea, Indonesia, Filipina, Nigeria, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Kepelbagaian budaya itu dilihat dari sudut iklim, lanskap, bahasa, adat, agama, masakan, hidupan liar, pakaian, bentuk rumah dan fizikal seseorang. Malaysia menduduki tempat yang ke-13 dalam senarai kepelbagaian budaya dunia. Pemimpin dari semua peringkat lapisan masyarakat harus memainkan peranan yang berkesan dalam memastikan hasrat menjadikan negara maju dan makmur tercapai. 


MATLAMAT NEGARA

Kerajaan yang memimpin sesebuah negara mempunyai matlamat yang hendak dicapai dan dari aspek manakah lebih diutamakan adalah bergantung kepada kedudukan sosial, ekonomi dan politik negara berkenaan. Pada dasarnya kita boleh bahagikan kepada empat matlamat utama negara: 

1) Mengeratkan Perpaduan Masyarakat 

Perpaduan di kalangan masyarakat dalam sesebuah negara terutamanya negara yang mempunyai berbilang etnik, agama dan budaya merupakan teras kepada kemajuan negara. Semakin tinggi perpaduan wujud di kalangan penduduk semakin cepat negara mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negara maju dan makmur. Pergeseran dan perpecahan etnik tidak menyumbang kepada kemajuan bahkan boleh membawa kepada ketidakstabilan dan kemunduran negara. Faktor penting dalam perpaduan masyarakat adalah sikap tolenrasi dan tolong-menolong antara semua pihak. 


2) Meningkatkan Pembangunan Infrastruktur

Pembangunan infrastruktur yang pesat dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan membangunkan ekonomi negara. Kekurangan dan kelemahan dalam pembangunan infrastruktur akan memberi kesan negatif kepada pelaburan dalam dan luar negara. Ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi lembab dan boleh mengurangkan taraf hidup rakyat. Aspek pembangunan infrastruktur yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan swasta seperti pengangkutan darat, laut dan udara; bekalan air, elektrik, media dan telekomunikasi; pendidikan, kesihatan, pasar awam, pusat sukan dan tempat rekreasi.


3) Mengurangkan Kadar Jenayah

Kadar jenayah yang rendah merupakan ukuran utama bagi menunjuk negara itu aman dan damai. Kerajaan perlu bertindak secara reaktif dan proaktif untuk mencegah, mengawal dan mengurangi kadar jenayah. Menurut kajian Numbeo (2019), indeks jenayah paling rendah dunia pada pertengahan tahun 2019 adalah Qatar (12.00%), United Arab Emirates (15.52%) dan Jepun (15.91%). Manakala indeks jenayah paling tinggi adalah Venezuela (84.86%), Papua New Guinea (80.26%) dan Honduras (75.85%). Malaysia (60.66%) menduduki tempat ke-20 daripada 195 negara dalam senarai indeks jenayah. Kejayaan kerajaan dan semua pihak mengurangkan kadar jenayah akan menarik lebih banyak pelaburan dan pelancong dari luar negara. Ini boleh menyumbang kepada kemajuan negara dan kemakmuran rakyat.


4) Menjamin Keadilan Masyarakat

Setiap warga negara ingin diberi layanan yang saksama oleh pemerintah. Keadilan adalah dalam aspek pendidikan, kesihatan, kemudahan awam, perniagaan dan penguatkuasaan undang-undang. Layanan yang tidak adil terhadap masyarakat akan menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh golongan tertentu dan boleh menyebabkan keharmonian dalam masyarakat terjejas. Memberi keadilan untuk rakyat dapat menjadikan negara lebih berkembang maju dan harmoni. Dasar negara yang mendiskriminasikan etnik dan bangsa harus dielak dan dihapuskan. Contoh negara yang mengamalkan dasar diskriminasi bangsa adalah Afrika Selatan iaitu dasar Apartheid. Dasar itu diperkenalkan pada tahun 1948 dan dihapuskan pada tahun 1994 disebabkan mendapat tentangan kuat daripada penduduk Afrika Selatan.


HUBUNGAN ANTARA KEPIMPINAN DAN BUDAYA

Perubahan global yang berlaku seperti perubahan teknologi, komunikasi, pengangkutan, pertumbuhan ekonomi, perdagangan bebas, pemerintahan, alam sekitar, pelaburan, taraf hidup dan sebagainya memberi impak kepada kepimpinan dan budaya yang sudah wujud dalam sesebuah negara. Kepantasan perubahan global itu terutamanya dalam bidang teknologi dan komunikasi akan mempengaruhi budaya masyarakat dan organisasi seperti kata seorang CEO YouTube, Susan Wojcicki, "Dari telefon kepada kereta kepada ubat-ubatan, teknologi menyentuh setiap aspek kehidupan kita. Jika anda boleh membuat teknologi, anda boleh mengubah dunia." Pemimpin dalam masyarakat atau organisasi yang mempunyai kepelbagaian budaya perlu mengambil kira setiap perubahan berlaku secara global itu. Ini bertujuan untuk memastikan kepimpinan yang dilaksanakan boleh mencapai hasil yang baik kepada masyarakat atau organisasi. 


PENGERTIAN BUDAYA

Pengertian budaya agak banyak dan bergantung kepada latar belakang penulis seperti perbezaan dari segi negara, bangsa dan agama. Antara beberapa pengertian seperti, budaya adalah satu set sikap, nilai, kepercayaan dan tingkah laku yang dikongsi oleh sekumpulan orang, tetapi berbeza untuk setiap individu, disampaikan dari satu generasi ke generasi berikutnya (Matsumoto, 1996). Budaya bermaksud sesuatu pembelajaran, kepercayaan, amalan, tingkah laku, simbol dan sikap yang merupakan ciri-ciri yang ada dan digunakan oleh sesetengah kumpulan masyarakat (Kosmitzki C. dan Gardiner H.W., 2008). Budaya merupakan satu set sikap, tingkah laku dan simbol yang dikongsi oleh kelompok manusia yang besar dan seringkali disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain (Shiraev & Levy, 2010). Secara umumnya budaya adalah suatu sikap, amalan, nilai dan kepercayaan yang menjadi kebiasaan dalam kumpulan masyarakat yang diturunkan dari satu generasi ke generasi.


CIRI-CIRI KEPELBAGAIAN BUDAYA

Kepimpinan berlaku dalam masyarakat dan organisasi. Kepimpinan dalam masyarakat ditentukan oleh saiz kawasan dan kuasa seperti kawasan taman perumahan, kampung, bandar, daerah, negeri, wilayah dan negara. Bagi kepimpinan dalam organisasi termasuk organisasi kecil, sederhana dan besar. Sama ada kepimpinan dalam masyarakat atau organisasi pemimpin sering berdepan dengan orang yang dipimpinnya mempunyai pelbagai budaya. Antara ciri-ciri kepelbagaian budaya adalah seperti di bawah:

1) Bangsa

Menurut kajian kebanyakan ahli antropologi menyatakan pada awalnya manusia terdiri daripada tiga kelompok bangsa iaitu bangsa Caucasian, Mongoloid dan Negroid. Meyers Konversationslexikon (1885-90) menyenaraikan bangsa Caucasian terdiri daripada Aryan, Hamit, Semit. Bangsa Mongoloid termasuklah Mongol utara, Cina dan Indo-Cina, Jepun dan Korea, Tibet, Malayan, Polynesian, Maori, Micronesian, Eskimos, American Indian. Bangsa Negroid mengandungi African, Hottentots, Melanesian / Papua, Negrito, Aborigine Australia, Dravidian dan Sinhala. Bangsa-bangsa tersebut berpecah pula kepada kelompok-kelompok kecil yang dapat dibahagikan kepada 30 sub kumpulan lagi.


2) Bahasa 

Menurut Ethnologue (2019), kini sejumlah 7111 bahasa dapat dikesan di seluruh dunia. Kira-kira 40% bahasa digunakan oleh kurang daripada 1000 penutur dan sedang diancam bahaya kepupusan. Jumlah penutur bahasa di seluruh dunia adalah tidak seimbang. Hanya 23 bahasa yang digunakan oleh separuh penduduk dunia. Sementara itu sepuluh bahasa paling ramai penutur di seluruh dunia adalah bahasa Inggeris (1.132 bilion), Mandarin (1.117 bilion), Hindi (615 juta), Spanyol (534 juta), Perancis (280 juta), Arab (274 juta), Benggali (265 juta), Russia (258 juta), Portugis (234 juta) dan Indonesia (199 juta). 


3) Agama

Agama terus memainkan peranan penting dalam masyarakat semenjak ribuan tahun dahulu hingga ke hari ini. Sekurang-kurangnya 6 bilion orang di seluruh dunia tergolong dalam kepercayaan agama, dan lebih daripada 57% penduduk dunia adalah sama ada orang Kristian atau Muslim (Swedish Nomad, 2019). Jumlah penganut paling ramai di seluruh dunia adalah agama Kristian (2.4 bilion), diikuti oleh Islam (1.8 bilion), tidak beragama (1.2 bilion), Hindu (1.1 bilion), Buddhist (500 juta), agama rakyat (400 juta), Yahudi (10 juta) dan agama-agama lain (100 juta) (Pew Research Center, 2017).


4) Pakaian Tradisional

Pakaian traditional melambangkan identiti budaya masyarakat sesebuah negara dan mempunyai nilai-nila simbolik yang menarik. Setiap bangsa dan etnik mempunyai pakaian tradisional yang dibanggakan. Pakaian tradisional digunakan pada masa-masa tertentu seperti menyambut perayaan keagamaan, majlis perkahwinan, majlis sambutan kebesaran negara dan persembahan kebudayaan. 


5) Makanan

Tidak ada cinta yang ikhlas daripada cinta kepada makanan (George Bernard Shaw). Pelbagai jenis makanan boleh dinikmati di seluruh pelusuk dunia. Setiap masyarakat memiliki makanan untuk dijadikan sebagai santapan harian mereka. Bukan semua makanan boleh dimakan oleh semua masyarakat. Penganut agama tidak makan makanan yang tidak dibenar oleh ajaran yang terkandung dalam agama mereka. Bagi penganut Islam, mereka diwajibkan makan makanan yang halal dan penganut agama Hindu dilarang makan daging lembu. Secara umumnya makanan yang paling ramai dimakan oleh penduduk dunia berasaskan beras dan gandum. 


6) Kesenian

Kepelbagaian budaya juga melibatkan kesenian. Kesenian meliputi tarian, lukisan, hiburan, seni bina, alat muzik, lagu, seni pertahanan diri dan permainan rakyat. Setiap etnik sejak berzaman telah mencipta kesenian tersebut sebagai hiburan dan upacara semasa perayaan. Sehingga kini kebanyakan kesenian tersebut masih lagi dipelihara dan dilaksanakan.


PENGERTIAN KEPIMPINAN

Kebanyakan penulis melihat kepimpinan yang mempunyai unsur-unsur penting seperti suatu proses, mempengaruhi dan matlamat organisasi. Swansburgh (1995) menyatakan kepemimpinan merupakan suatu proses mempengaruhi seseorang atau kelompok untuk mencapai tujuan organisasi. Kepemimpinan adalah kegiatan mempengaruhi orang lain untuk lebih berupaya dalam mengarahkan tenaga berkaitan tugasnya atau mengubah perilaku mereka (Wexley dan Yuki, 1977). Kepimpinan adalah kemampuan seseorang mempengaruhi pasukan kerja ke arah pencapaian matlamat organisasi (Robbins, 2001). Kita boleh merumuskan kepimpinan merupakan kebolehan individu mempengaruhi orang di bawah pimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi. 


CIRI-CIRI KEPIMPINAN DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA

Memimpin sebuah masyarakat atau organisasi yang mengandungi pelbagai budaya memerlukan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkasan supaya segala matlamat yang ditetapkan boleh dicapai. Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti di bawah:

1) Kesedaran

Mereka yang diberi tanggungjawab menjadi pemimpin dalam organisasi pelbagai budaya harus mempunyai kesedaran dan gambaran yang jelas tentang latar belakang dan kedudukan orang-orang di bawah jagaannya. Kesedaran dan  sedia menerima kenyataan boleh membantu pemimpin untuk membuat keputusan dan tindakan yang lebih tepat. Kesilapan dalam membuat keputusan menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan bawahan dan menjejaskan keharmonian. Ini boleh membawa kepada penurunan produktiviti organisasi dan jika berlaku dalam masyarakat tentunya boleh menjejaskan kemakmuran negara. 



2) Toleransi

Pemimpin yang bersikap toleransi dan terbuka dalam memimpin bawahan mereka merupakan pemangkin kepada kejayaan bagi mencapai matlamat organisasi. Pekerja merasakan diri mereka diberi pertimbangan dan dihargai akan membalasnya dengan  cara mempertingkatkan lagi prestasi kerja mereka. Pemimpin yang tidak bertolenrasi boleh menyebabkan semangat kekitaan dan kerja secara berpasukan di kalangan pekerja merosot. Hubungan yang tidak harmoni sesama pekerja akibat ketiadaan tolenrasi menjejaskan kualiti dan produktiviti organisasi. Pemimpin yang membuat keputusan dengan mengambilkira kira elemen tolenrasi mungkin tidak dapat menyenangkan beberapa bawahan dalam jangka pendek tetapi dalam panjang panjang akan memberi kebaikan dan kelebihan kepada organisasi atau masyarakat.  


3) Integriti

Semua pengikut atau kakitangan dalam sesebuah organisasi sangat mengharapkan pemimpin mereka memiliki integriti yang tinggi. Pemimpin yang jujur dan berintegriti akan dapat mewujudkan hubungan baik dan saling hormat-menghormati di kalangan semua lapisan peringkat dalam organisasi. Menurut Eisenhower, kualiti tertinggi yang tidak boleh dinafikan untuk kepimpinan adalah integriti. Tanpanya, tidak mungkin wujud kejayaan sebenar, tidak kira sama ada ia berada dalam satu pasukan, di padang bola sepak, dalam angkatan tentera atau di pejabat. Integriti dalam kepimpinan memerlukan mereka bertindak jujur dan amanah mengikut bidang kuasa, tiada konflik peribadi dan berani bertanggungjawab dengan keputusannya. Pemimpin yang berintegriti dalam memimpin organisasi yang mempunyai kepelbagaian budaya akan mampu mencapai matlamat organisasi dalam tempoh yang telah ditetapkan.


4) Komunikasi

Apabila pemimipin sudah mempunyai visi, matlamat dan strategi yang jelas, mereka harus menyampaikan pula kepada pasukan mereka. Komunikasi yang baik dapat memudah dan melancarkan semua tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai bahagian dalam organisasi bagi memastikan matlamat tercapai. Kini terdapat banyak kaedah berkesan untuk berkomunikasi seperti kaedah lisan (taklimat, mesyuarat, ceramah, seminar), kaedah bertulis (memo, surat, laporan, minit mesyuarat, buku peraturan), kaedah elektronik (emel, mesej, media sosial, laman web), kaedah visual (peta, simbol, penunjuk arah, diagram) dan kaedah bahasa badan (muka, mata, mulut, tangan, kaki). Pemimpin selaku pengantara perlu memilih dan menggunakan kaedah yang paling sesuai dengan latar belakang pekerja dan persekitaran yang ada. Ini bertujuan untuk menyalurkan maklumat yang jelas bagi melancarkan proses kerja dan pencapaian matlamat.


5) Kecerdasan


Kecerdasan atau inteligen bermaksud kemampuan individu untuk memberi tindak balas yang tepat terhadap stimulus yang diterimanya (Edward Thorndike, 1913). Menurut Piaget (1950), kecerdasan adalah kebolehan individu membuat adaptasi pada persekitaran fizikal dan sosial. Walaupun terdapat beberapa jenis kecerdasan, pemimpin perlu memberi penekanan kepada tiga jenis yang asas iaitu kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ). Kecerdasan tersebut merupakan keupayaan pemimpin untuk menangani emosi sendiri dan juga menafsirkan emosi pengikut atau pekerja bagi membangun hubungan yang berkesan. Kemahiran kecerdasan dapat membina perpaduan dan memotivasi pekerja. Pemimpin yang mempunyai kecerdasan yang baik sering mempamerkan kepimpinan yang berkesan sehingga mampu meningkatkan kualiti produk dan produktiviti pekerja.


6) Hubungan      


Hubungan baik antara pemimpin dengan orang yang mereka pimpin amat penting dalam sesebuah organisasi atau pertubuhan dalam masyarakat. Pemimpin yang efektif tidak menunggu bawahan mereka datang mencari mereka tetapi pemimpinlah yang harus mendampingi mereka. Semasa bertemu bawahan, pemimpin perlu bertanya soalan yang relevan dan hendaklah menjadi pendengar yang baik apabila diberi jawapan atau pandangan. Selain itu pemimpin juga harus mengambil berat tentang masalah, kebajikan, memberi motivasi, tunjuk ajar dan sentiasa bersedia untuk membantu bawahan mereka. Apabila bawahan sudah boleh menerima dan percaya kepada pemimpin bererti hubungan baik antara dua pihak sudah terjalin dan perlu dikekal berpanjangan. Hubungan baik ini menjadikan pekerja akan bekerja dengan sepenuh usaha dan tenaga. Suasana begini memberi kesan yang baik kepada organisasi dan mampu mencapai matlamat seperti yang disasarkan.  


7) Visi

Visi adalah suatu bentuk kepimpinan di mana pemimpin bervisi mengubah budaya organisasi untuk membawa anggota organisasi supaya memahami, menerima dan melaksanakan rancangannya untuk organisasi (Hunt 1991 dan Sashkin 1988). Pemimpin bervisi akan berkongsi visinya dengan anggota organisasi. Gambaran arah tuju yang dipamerkan melalui pernyataan visi memberi manfaat dari segi kejelasan, proses kerja, kerjasama, fokus dan penyelarasan. Visi yang merupakan apa yang pemimpin bayangkan hendaklah diikuti dengan tindakan. Pemimpin bervisi akan memimpin anggota organisasi mereka dengan menerapkan budaya yang positif supaya lebih cekap dan berkesan. Kepimpinan merupakan suatu proses yang mesti dipelajari bagi menambahkan kapasiti dalam memimpin pekerja. Organisasi akan berkembang lebih maju apabila kapasiti kepimpinan yang dimiliki oleh pemimpin berkembang. 


RUMUSAN

Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi budaya kepimpinan yang ditinggalkan oleh pemimpin akan kekal lama. Biarlah kepimpinan yang kita terima itu dapat membantu organisasi dan masyarakat bergerak ke arah kemajuan dan kemakmuran negara seperti kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.   


15. PENGERTIAN PENJARA

Istilah penjara diterjemahkan dari bahasa Inggeris iaitu “prison”. Perkataan "prison" pertama kali muncul dalam bahasa Inggeris pa...