Penjara mempunyai empat tujuan utama iaitu pembalasan (retribution), pengasingan (incapacitation), pencegahan (deterrence) dan pemulihan (rehabilitation).
1) Pembalasan bermakna hukuman yang merupakan balasan kepada mereka yang melakukan jenayah terhadap masyarakat. Berani buat jenayah beranilah menanggung balasan. Hak-hak pembebasan mereka akan terlucut sepanjang tempoh pemenjaraan. Setiap kesalahan jenayah yang dilakukan harus mendapat pembalasan yang setimpal dengan kesalahan tersebut.
2) Pengasingan merujuk kepada memisahkan penjenayah daripada masyarakat dan ini akan menghilangkan keupayaan mereka untuk melakukan jenayah yang boleh memudaratkan masyarakat. Penjenayah yang meringkuk dalam penjara akan memberi kesan baik kepada masyarakat akibat pengasingan orang yang terlibat dengan jenayah itu.
3) Pencegahan bertujuan menghindari seseorang daripada melakukan jenayah pada masa hadapan. Penjara diharap dapat menjadikan seseorang itu berfikir dua kali sebelum bertindak melakukan kesalahan jenayah. Mungkin seseorang yang mempunyai niat dan peluang untuk melakukan jenayah tiba-tiba mengubah fikirannya disebabkan khuatir dengan hukuman penjara.
4) Pemulihan dirujuk kepada program pemulihan yang dilakukan oleh pihak berkuasa penjara ke atas pesalah-pesalah yang ditahan dalam penjara. Tujuannya supaya mereka berubah sikap daripada seorang penjenayah kepada warganegara yang patuh kepada undang-undang atau tidak lagi mengulangi kesalahan jenayah dan kembali ke pangkuan masyarakat sebagai warganegara yang berguna. Antara program yang boleh disediakan seperti pendidikan, kemahiran pertukangan, bimbingan agama, kaunseling, psikologi dan khidmat masyarakat.
No comments:
Post a Comment