PENGENALAN
Setiap pemimpin di mana-mana negara ingin menjadikan organisasi atau pertubuhan dalam masyarakat yang dipimpinnya berkembang maju dan makmur. Pada masa ini terdapat sebanyak 195 negara di dunia dengan jumlah penduduk seramai 7.73 bilion. Antara 10 negara yang mempunyai tahap kepelbagaian budaya paling tinggi adalah India, Kanada, Australia, Ethiopia, Papua New Guinea, Indonesia, Filipina, Nigeria, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Kepelbagaian budaya itu dilihat dari sudut iklim, lanskap, bahasa, adat, agama, masakan, hidupan liar, pakaian, bentuk rumah dan fizikal seseorang. Malaysia menduduki tempat yang ke-13 dalam senarai kepelbagaian budaya dunia. Pemimpin dari semua peringkat lapisan masyarakat harus memainkan peranan yang berkesan dalam memastikan hasrat menjadikan negara maju dan makmur tercapai.
MATLAMAT NEGARA
Kerajaan yang memimpin sesebuah negara mempunyai matlamat yang hendak dicapai dan dari aspek manakah lebih diutamakan adalah bergantung kepada kedudukan sosial, ekonomi dan politik negara berkenaan. Pada dasarnya kita boleh bahagikan kepada empat matlamat utama negara:
1) Mengeratkan Perpaduan Masyarakat
Perpaduan di kalangan masyarakat dalam sesebuah negara terutamanya negara yang mempunyai berbilang etnik, agama dan budaya merupakan teras kepada kemajuan negara. Semakin tinggi perpaduan wujud di kalangan penduduk semakin cepat negara mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negara maju dan makmur. Pergeseran dan perpecahan etnik tidak menyumbang kepada kemajuan bahkan boleh membawa kepada ketidakstabilan dan kemunduran negara. Faktor penting dalam perpaduan masyarakat adalah sikap tolenrasi dan tolong-menolong antara semua pihak.
2) Meningkatkan Pembangunan Infrastruktur
Pembangunan infrastruktur yang pesat dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan membangunkan ekonomi negara. Kekurangan dan kelemahan dalam pembangunan infrastruktur akan memberi kesan negatif kepada pelaburan dalam dan luar negara. Ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi lembab dan boleh mengurangkan taraf hidup rakyat. Aspek pembangunan infrastruktur yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan swasta seperti pengangkutan darat, laut dan udara; bekalan air, elektrik, media dan telekomunikasi; pendidikan, kesihatan, pasar awam, pusat sukan dan tempat rekreasi.
3) Mengurangkan Kadar Jenayah
Kadar jenayah yang rendah merupakan ukuran utama bagi menunjuk negara itu aman dan damai. Kerajaan perlu bertindak secara reaktif dan proaktif untuk mencegah, mengawal dan mengurangi kadar jenayah. Menurut kajian Numbeo (2019), indeks jenayah paling rendah dunia pada pertengahan tahun 2019 adalah Qatar (12.00%), United Arab Emirates (15.52%) dan Jepun (15.91%). Manakala indeks jenayah paling tinggi adalah Venezuela (84.86%), Papua New Guinea (80.26%) dan Honduras (75.85%). Malaysia (60.66%) menduduki tempat ke-20 daripada 195 negara dalam senarai indeks jenayah. Kejayaan kerajaan dan semua pihak mengurangkan kadar jenayah akan menarik lebih banyak pelaburan dan pelancong dari luar negara. Ini boleh menyumbang kepada kemajuan negara dan kemakmuran rakyat.
4) Menjamin Keadilan Masyarakat
Setiap warga negara ingin diberi layanan yang saksama oleh pemerintah. Keadilan adalah dalam aspek pendidikan, kesihatan, kemudahan awam, perniagaan dan penguatkuasaan undang-undang. Layanan yang tidak adil terhadap masyarakat akan menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh golongan tertentu dan boleh menyebabkan keharmonian dalam masyarakat terjejas. Memberi keadilan untuk rakyat dapat menjadikan negara lebih berkembang maju dan harmoni. Dasar negara yang mendiskriminasikan etnik dan bangsa harus dielak dan dihapuskan. Contoh negara yang mengamalkan dasar diskriminasi bangsa adalah Afrika Selatan iaitu dasar Apartheid. Dasar itu diperkenalkan pada tahun 1948 dan dihapuskan pada tahun 1994 disebabkan mendapat tentangan kuat daripada penduduk Afrika Selatan.
HUBUNGAN ANTARA KEPIMPINAN DAN BUDAYA
Perubahan global yang berlaku seperti perubahan teknologi, komunikasi, pengangkutan, pertumbuhan ekonomi, perdagangan bebas, pemerintahan, alam sekitar, pelaburan, taraf hidup dan sebagainya memberi impak kepada kepimpinan dan budaya yang sudah wujud dalam sesebuah negara. Kepantasan perubahan global itu terutamanya dalam bidang teknologi dan komunikasi akan mempengaruhi budaya masyarakat dan organisasi seperti kata seorang CEO YouTube, Susan Wojcicki, "Dari telefon kepada kereta kepada ubat-ubatan, teknologi menyentuh setiap aspek kehidupan kita. Jika anda boleh membuat teknologi, anda boleh mengubah dunia." Pemimpin dalam masyarakat atau organisasi yang mempunyai kepelbagaian budaya perlu mengambil kira setiap perubahan berlaku secara global itu. Ini bertujuan untuk memastikan kepimpinan yang dilaksanakan boleh mencapai hasil yang baik kepada masyarakat atau organisasi.
PENGERTIAN BUDAYA
Pengertian budaya agak banyak dan bergantung kepada latar belakang penulis seperti perbezaan dari segi negara, bangsa dan agama. Antara beberapa pengertian seperti, budaya adalah satu set sikap, nilai, kepercayaan dan tingkah laku yang dikongsi oleh sekumpulan orang, tetapi berbeza untuk setiap individu, disampaikan dari satu generasi ke generasi berikutnya (Matsumoto, 1996). Budaya bermaksud sesuatu pembelajaran, kepercayaan, amalan, tingkah laku, simbol dan sikap yang merupakan ciri-ciri yang ada dan digunakan oleh sesetengah kumpulan masyarakat (Kosmitzki C. dan Gardiner H.W., 2008). Budaya merupakan satu set sikap, tingkah laku dan simbol yang dikongsi oleh kelompok manusia yang besar dan seringkali disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain (Shiraev & Levy, 2010). Secara umumnya budaya adalah suatu sikap, amalan, nilai dan kepercayaan yang menjadi kebiasaan dalam kumpulan masyarakat yang diturunkan dari satu generasi ke generasi.
CIRI-CIRI KEPELBAGAIAN BUDAYA
Kepimpinan berlaku dalam masyarakat dan organisasi. Kepimpinan dalam masyarakat ditentukan oleh saiz kawasan dan kuasa seperti kawasan taman perumahan, kampung, bandar, daerah, negeri, wilayah dan negara. Bagi kepimpinan dalam organisasi termasuk organisasi kecil, sederhana dan besar. Sama ada kepimpinan dalam masyarakat atau organisasi pemimpin sering berdepan dengan orang yang dipimpinnya mempunyai pelbagai budaya. Antara ciri-ciri kepelbagaian budaya adalah seperti di bawah:
1) Bangsa
Menurut kajian kebanyakan ahli antropologi menyatakan pada awalnya manusia terdiri daripada tiga kelompok bangsa iaitu bangsa Caucasian, Mongoloid dan Negroid. Meyers Konversationslexikon (1885-90) menyenaraikan bangsa Caucasian terdiri daripada Aryan, Hamit, Semit. Bangsa Mongoloid termasuklah Mongol utara, Cina dan Indo-Cina, Jepun dan Korea, Tibet, Malayan, Polynesian, Maori, Micronesian, Eskimos, American Indian. Bangsa Negroid mengandungi African, Hottentots, Melanesian / Papua, Negrito, Aborigine Australia, Dravidian dan Sinhala. Bangsa-bangsa tersebut berpecah pula kepada kelompok-kelompok kecil yang dapat dibahagikan kepada 30 sub kumpulan lagi.
2) Bahasa
Menurut Ethnologue (2019), kini sejumlah 7111 bahasa dapat dikesan di seluruh dunia. Kira-kira 40% bahasa digunakan oleh kurang daripada 1000 penutur dan sedang diancam bahaya kepupusan. Jumlah penutur bahasa di seluruh dunia adalah tidak seimbang. Hanya 23 bahasa yang digunakan oleh separuh penduduk dunia. Sementara itu sepuluh bahasa paling ramai penutur di seluruh dunia adalah bahasa Inggeris (1.132 bilion), Mandarin (1.117 bilion), Hindi (615 juta), Spanyol (534 juta), Perancis (280 juta), Arab (274 juta), Benggali (265 juta), Russia (258 juta), Portugis (234 juta) dan Indonesia (199 juta).
3) Agama
Agama terus memainkan peranan penting dalam masyarakat semenjak ribuan tahun dahulu hingga ke hari ini. Sekurang-kurangnya 6 bilion orang di seluruh dunia tergolong dalam kepercayaan agama, dan lebih daripada 57% penduduk dunia adalah sama ada orang Kristian atau Muslim (Swedish Nomad, 2019). Jumlah penganut paling ramai di seluruh dunia adalah agama Kristian (2.4 bilion), diikuti oleh Islam (1.8 bilion), tidak beragama (1.2 bilion), Hindu (1.1 bilion), Buddhist (500 juta), agama rakyat (400 juta), Yahudi (10 juta) dan agama-agama lain (100 juta) (Pew Research Center, 2017).
4) Pakaian Tradisional
Pakaian traditional melambangkan identiti budaya masyarakat sesebuah negara dan mempunyai nilai-nila simbolik yang menarik. Setiap bangsa dan etnik mempunyai pakaian tradisional yang dibanggakan. Pakaian tradisional digunakan pada masa-masa tertentu seperti menyambut perayaan keagamaan, majlis perkahwinan, majlis sambutan kebesaran negara dan persembahan kebudayaan.
5) Makanan
Tidak ada cinta yang ikhlas daripada cinta kepada makanan (George Bernard Shaw). Pelbagai jenis makanan boleh dinikmati di seluruh pelusuk dunia. Setiap masyarakat memiliki makanan untuk dijadikan sebagai santapan harian mereka. Bukan semua makanan boleh dimakan oleh semua masyarakat. Penganut agama tidak makan makanan yang tidak dibenar oleh ajaran yang terkandung dalam agama mereka. Bagi penganut Islam, mereka diwajibkan makan makanan yang halal dan penganut agama Hindu dilarang makan daging lembu. Secara umumnya makanan yang paling ramai dimakan oleh penduduk dunia berasaskan beras dan gandum.
6) Kesenian
Kepelbagaian budaya juga melibatkan kesenian. Kesenian meliputi tarian, lukisan, hiburan, seni bina, alat muzik, lagu, seni pertahanan diri dan permainan rakyat. Setiap etnik sejak berzaman telah mencipta kesenian tersebut sebagai hiburan dan upacara semasa perayaan. Sehingga kini kebanyakan kesenian tersebut masih lagi dipelihara dan dilaksanakan.
PENGERTIAN KEPIMPINAN
Kebanyakan penulis melihat kepimpinan yang mempunyai unsur-unsur penting seperti suatu proses, mempengaruhi dan matlamat organisasi. Swansburgh (1995) menyatakan kepemimpinan merupakan suatu proses mempengaruhi seseorang atau kelompok untuk mencapai tujuan organisasi. Kepemimpinan adalah kegiatan mempengaruhi orang lain untuk lebih berupaya dalam mengarahkan tenaga berkaitan tugasnya atau mengubah perilaku mereka (Wexley dan Yuki, 1977). Kepimpinan adalah kemampuan seseorang mempengaruhi pasukan kerja ke arah pencapaian matlamat organisasi (Robbins, 2001). Kita boleh merumuskan kepimpinan merupakan kebolehan individu mempengaruhi orang di bawah pimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi.
CIRI-CIRI KEPIMPINAN DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA
Memimpin sebuah masyarakat atau organisasi yang mengandungi pelbagai budaya memerlukan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkasan supaya segala matlamat yang ditetapkan boleh dicapai. Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti di bawah:
1) Kesedaran
Mereka yang diberi tanggungjawab menjadi pemimpin dalam organisasi pelbagai budaya harus mempunyai kesedaran dan gambaran yang jelas tentang latar belakang dan kedudukan orang-orang di bawah jagaannya. Kesedaran dan sedia menerima kenyataan boleh membantu pemimpin untuk membuat keputusan dan tindakan yang lebih tepat. Kesilapan dalam membuat keputusan menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan bawahan dan menjejaskan keharmonian. Ini boleh membawa kepada penurunan produktiviti organisasi dan jika berlaku dalam masyarakat tentunya boleh menjejaskan kemakmuran negara.
2) Toleransi
CIRI-CIRI KEPIMPINAN DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA
Memimpin sebuah masyarakat atau organisasi yang mengandungi pelbagai budaya memerlukan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkasan supaya segala matlamat yang ditetapkan boleh dicapai. Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti di bawah:
1) Kesedaran
Mereka yang diberi tanggungjawab menjadi pemimpin dalam organisasi pelbagai budaya harus mempunyai kesedaran dan gambaran yang jelas tentang latar belakang dan kedudukan orang-orang di bawah jagaannya. Kesedaran dan sedia menerima kenyataan boleh membantu pemimpin untuk membuat keputusan dan tindakan yang lebih tepat. Kesilapan dalam membuat keputusan menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan bawahan dan menjejaskan keharmonian. Ini boleh membawa kepada penurunan produktiviti organisasi dan jika berlaku dalam masyarakat tentunya boleh menjejaskan kemakmuran negara.
2) Toleransi
Pemimpin yang bersikap toleransi dan terbuka dalam memimpin bawahan mereka merupakan pemangkin kepada kejayaan bagi mencapai matlamat organisasi. Pekerja merasakan diri mereka diberi pertimbangan dan dihargai akan membalasnya dengan cara mempertingkatkan lagi prestasi kerja mereka. Pemimpin yang tidak bertolenrasi boleh menyebabkan semangat kekitaan dan kerja secara berpasukan di kalangan pekerja merosot. Hubungan yang tidak harmoni sesama pekerja akibat ketiadaan tolenrasi menjejaskan kualiti dan produktiviti organisasi. Pemimpin yang membuat keputusan dengan mengambilkira kira elemen tolenrasi mungkin tidak dapat menyenangkan beberapa bawahan dalam jangka pendek tetapi dalam panjang panjang akan memberi kebaikan dan kelebihan kepada organisasi atau masyarakat.
3) Integriti
Semua pengikut atau kakitangan dalam sesebuah organisasi sangat mengharapkan pemimpin mereka memiliki integriti yang tinggi. Pemimpin yang jujur dan berintegriti akan dapat mewujudkan hubungan baik dan saling hormat-menghormati di kalangan semua lapisan peringkat dalam organisasi. Menurut Eisenhower, kualiti tertinggi yang tidak boleh dinafikan untuk kepimpinan adalah integriti. Tanpanya, tidak mungkin wujud kejayaan sebenar, tidak kira sama ada ia berada dalam satu pasukan, di padang bola sepak, dalam angkatan tentera atau di pejabat. Integriti dalam kepimpinan memerlukan mereka bertindak jujur dan amanah mengikut bidang kuasa, tiada konflik peribadi dan berani bertanggungjawab dengan keputusannya. Pemimpin yang berintegriti dalam memimpin organisasi yang mempunyai kepelbagaian budaya akan mampu mencapai matlamat organisasi dalam tempoh yang telah ditetapkan.
4) Komunikasi
Apabila pemimipin sudah mempunyai visi, matlamat dan strategi yang jelas, mereka harus menyampaikan pula kepada pasukan mereka. Komunikasi yang baik dapat memudah dan melancarkan semua tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai bahagian dalam organisasi bagi memastikan matlamat tercapai. Kini terdapat banyak kaedah berkesan untuk berkomunikasi seperti kaedah lisan (taklimat, mesyuarat, ceramah, seminar), kaedah bertulis (memo, surat, laporan, minit mesyuarat, buku peraturan), kaedah elektronik (emel, mesej, media sosial, laman web), kaedah visual (peta, simbol, penunjuk arah, diagram) dan kaedah bahasa badan (muka, mata, mulut, tangan, kaki). Pemimpin selaku pengantara perlu memilih dan menggunakan kaedah yang paling sesuai dengan latar belakang pekerja dan persekitaran yang ada. Ini bertujuan untuk menyalurkan maklumat yang jelas bagi melancarkan proses kerja dan pencapaian matlamat.
5) Kecerdasan
Kecerdasan atau inteligen bermaksud kemampuan individu untuk memberi tindak balas yang tepat terhadap stimulus yang diterimanya (Edward Thorndike, 1913). Menurut Piaget (1950), kecerdasan adalah kebolehan individu membuat adaptasi pada persekitaran fizikal dan sosial. Walaupun terdapat beberapa jenis kecerdasan, pemimpin perlu memberi penekanan kepada tiga jenis yang asas iaitu kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ). Kecerdasan tersebut merupakan keupayaan pemimpin untuk menangani emosi sendiri dan juga menafsirkan emosi pengikut atau pekerja bagi membangun hubungan yang berkesan. Kemahiran kecerdasan dapat membina perpaduan dan memotivasi pekerja. Pemimpin yang mempunyai kecerdasan yang baik sering mempamerkan kepimpinan yang berkesan sehingga mampu meningkatkan kualiti produk dan produktiviti pekerja.
6) Hubungan
Hubungan baik antara pemimpin dengan orang yang mereka pimpin amat penting dalam sesebuah organisasi atau pertubuhan dalam masyarakat. Pemimpin yang efektif tidak menunggu bawahan mereka datang mencari mereka tetapi pemimpinlah yang harus mendampingi mereka. Semasa bertemu bawahan, pemimpin perlu bertanya soalan yang relevan dan hendaklah menjadi pendengar yang baik apabila diberi jawapan atau pandangan. Selain itu pemimpin juga harus mengambil berat tentang masalah, kebajikan, memberi motivasi, tunjuk ajar dan sentiasa bersedia untuk membantu bawahan mereka. Apabila bawahan sudah boleh menerima dan percaya kepada pemimpin bererti hubungan baik antara dua pihak sudah terjalin dan perlu dikekal berpanjangan. Hubungan baik ini menjadikan pekerja akan bekerja dengan sepenuh usaha dan tenaga. Suasana begini memberi kesan yang baik kepada organisasi dan mampu mencapai matlamat seperti yang disasarkan.
7) Visi
Visi adalah suatu bentuk kepimpinan di mana pemimpin bervisi mengubah budaya organisasi untuk membawa anggota organisasi supaya memahami, menerima dan melaksanakan rancangannya untuk organisasi (Hunt 1991 dan Sashkin 1988). Pemimpin bervisi akan berkongsi visinya dengan anggota organisasi. Gambaran arah tuju yang dipamerkan melalui pernyataan visi memberi manfaat dari segi kejelasan, proses kerja, kerjasama, fokus dan penyelarasan. Visi yang merupakan apa yang pemimpin bayangkan hendaklah diikuti dengan tindakan. Pemimpin bervisi akan memimpin anggota organisasi mereka dengan menerapkan budaya yang positif supaya lebih cekap dan berkesan. Kepimpinan merupakan suatu proses yang mesti dipelajari bagi menambahkan kapasiti dalam memimpin pekerja. Organisasi akan berkembang lebih maju apabila kapasiti kepimpinan yang dimiliki oleh pemimpin berkembang.
RUMUSAN
Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi budaya kepimpinan yang ditinggalkan oleh pemimpin akan kekal lama. Biarlah kepimpinan yang kita terima itu dapat membantu organisasi dan masyarakat bergerak ke arah kemajuan dan kemakmuran negara seperti kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.
No comments:
Post a Comment