Tuesday, November 26, 2019

9. INTEGRITI DALAM ORGANISASI

PENGENALAN

Kemajuan negara bergantung kepada masyarakatnya. Semakin maju masyarakat semakin tinggi sumbangan yang dapat diberikan kepada negara. Masyarakat maju bukan sahaja berjaya mewujudkan perpaduan bangsa dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga kerana mempunyai sifat-sifat integriti yang tinggi. Integriti adalah asas dan kunci kepada kehidupan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian rakyat dan kemakmuran negara. 


PEGERTIAN INTEGRITI 

Integriti berasal dari bahasa Latin iaitu interger yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Menurut Andreas Harefa, integriti merupakan tiga kunci yang perlu diamati iaitu mempamerkan kejujuran, memenuhi komitmen dan mengerjakan sesuatu dengan konsisten. Menurut Kamus Dewan (1985), integriti mempunyai dua maksud, pertama integriti bermaksud kejujuran dan kedua, integriti bermaksud keadaan sempurna dan utuh. Integriti bererti melakukan sesuatu perkara yang betul walaupun pada ketika tiada siapa melihat (C.S.Lewis). Berdasarkan Pelan Integrasi Maktab Koperasi Malaysia (2017-2020), integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu iaitu sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi dan boleh dipercayai. Integriti berkait rapat dengan etika. 


KATEGORI INTEGRITI

Terdapat dua kategori integriti iaitu integriti individu dan integriti organisasi:

1) Integriti Individu 

Integriti individu merupakan suatu tindakan seseorang selaras dengan apa yang dikatakan itu dikotakan; selaras dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; dan selaras dengan kepentingan umum. Individu dikatakan berintegriti apabila tindakannya itu dilakukan secara konsisten. 


2) Integriti Organisasi

Integriti organisasi merupakan pelaksanaan pematuhan kod etika, piagam pelanggan dan proses kerja oleh anggota dalam sesebuah organisasi. Pematuhan tersebut berterusan oleh anggotanya sehingga menjadi kebiasaan lantas berjaya membentuk budaya kerja.


KEPENTINGAN INTEGRITI

Aspek integriti merupakan unsur penting yang perlu dimiliki dan diamalkan oleh setiap pekerja tanpa mengira organisasi itu besaiz besar atau kecil. Integriti penting kerana boleh memberi kesan kepada pencapaian matlamat organisasi. Antaranya adalah seperti di bawah:

1) Visi Dan Misi

Visi dan misi organisasi lebih mudah untuk dicapai jika tahap integriti di kalangan pekerja adalah tinggi. Pekerja yang tidak berintegriti boleh menjadi penghalang kepada visi dan misi yang telah ditetapkan oleh organisasi. Hal ini boleh melambat atau membantutkan segala perancangan untuk pencapaian visi dan misi tersebut.


2) Produktiviti

Produktiviti merupakan hubungan antara input dan output. Input mengandungi pengurus, pekerja, modal, tanah, bangunan, kelengkapan, peralatan dan teknologi. Ouput adalah hasil keluaran berupa barangan atau perkhidmatan. Produktiviti akan meningkat jika input yang sama dapat mengeluarkan output yang lebih tinggi dari sebelumnya atau input yang kurang dapat mengeluarkan output yang sama banyak dengan sebelumnya. Produktiviti akan bertambah apabila pekerja-pekerja barada di bawah tahap integriti yang tinggi. Tahap integriti rendah pula boleh menjejas atau mengurangkan produktiviti organisasi.


3) Kualiti

Kualiti merujuk kepada kepuasan pelanggan yang menggunakan produk kita sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Setiap organisasi mempunyai matlamat untuk sentiasa menghasilkan produk yang berkuali. Ini kerana semakin tinggi kualiti produk itu semakin tinggi pula jualan dapat dihasilkan sehingga membolehkan peningkatan keuntungan. 


4) Keseronokan Bekerja

Bekerja dalam sesebuah organisasi melibatkan intraksi antara pekerja dengan pekerja dari semua peringkat pengurusan. Amalan integriti di kalangan mereka boleh mewujudkan keseronokan bekerja dan semangat kerja berpasukan yang tinggi. Suasana baik seperti ini menjadikan mereka bekerja dengan lebih bertenaga dan setia kepada organisasi. Setiap pekerja yang meninggalkan organisasi akan merugikan organisasi kerana pengambilan baru akan melibatkan penambahan kos.



CIRI-CIRI INTEGRITI

Keutuhan peribadi seseorang terletak kepada ciri-ciri integriti yang dimilikinya. Integriti tidak dapat dinbentuk dalam sehari tetapi merupakan suatu proses yang mengambil masa yang lama. Orang berintegriti perlu memenuhi kriteria yang terkandung dalam ciri-ciri integriti. Ciri-cirinya adalah seperti di bawah:


1) Jujur

Jujur berasal dari perkataan Arab iaitu sidiq yang bererti benar atau berkata benar dan lawannya adalah bohong atau dusta. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, jujur bermaksud lurus hati; tulus; ikhlas. Menurut Agus Wibowo, jujur ditakrifkan sebagai tingkah laku yang berdasarkan usaha menjadikan dirinya orang yang selalu dapat dipercaya dalam kata-kata, tindakan dan pekerjaan. Selaras dengan itu, Nurul Zuriah menyatakan kejujuran adalah sikap dan tingkah laku yang tidak suka berbohong dan menipu, memberitahu apa yang ada dan berani mengakui kesilapan. Jujur boleh diertikan sebagai mengakui, menyatakan atau memberikan maklumat berdasarkan fakta.

Memiliki dan mengamal sifat jujur merupakan teras kepada integriti seseorang. Sekali sahaja kita bersikap tidak jujur sudah memberi impak kepada orang lain, apatah lagi kalau kita melakukannya berkali-kali. Kejujuran sangat berkait rapat dengan kepercayaan. Kita sering mendengar orang berkata, sekali kita suka berbohong, sampai bila-bila pun orang tetap kata kita suka berbohong. Kejujuran mencerminkan kepercayaan orang lain terhadap orang yang bersikap jujur. Dalam organisasi, kakitangan jujur amat diperlukan supaya setiap matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dalam tempoh yang disasarkan. 

Kejujuran mempunyai banyak kelebihan. Orang jujur lebih disukai dan diterima oleh keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Ini disebabkan sifat semulajadi manusia lebih suka kepada orang jujur atau bercakap benar. Pekerja yang jujur akan mendapat tempat di hati pihak pengurusan atasan. Peluang kenaikan pangkat lebih berpihak kepada orang jujur disebabkan kepercayaan pihak atasan itu. Dalam perniagaan, peniaga yang jujur sama ada jujur dari segi bicara, tindakan, kualiti, harga dan tarikh luput produk boleh mempengaruhi respon pembeli atau pelanggan. Pelanggan akan menjadi setia untuk membeli produk peniaga yang memiliki sifat kejujuran.


2) Amanah

Amanah adalah sesuatu yang dipercayakan kepada seseorang misalnya diserahkan sesuatu untuk disimpan (DBP, 1996). Amanah adalah suatu tanggungjawab yang diberikan sebagai satu prinsip untuk tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pengaruh dan kuasa yang sedia ada (Mumtaz, Norzaini & Mohammed Sani, 2010). Bagi Ahmad Musthafa Al Maraghi, amanah merupakan sesuatu yang perlu dipelihara dan dijaga agar sampai kepada yang berhak memilikinya. 

Orang beramanah bermakna orang yang sangat dipercayai oleh orang lain. Kita tidak boleh mengaku diri sendiri sebagai orang beramanah kerana sifat itu hanya boleh dinilai oleh orang lain. Apa yang perlu kita lakukan ialah dengan sentiasa membuat kerja yang boleh menyebabkan orang percaya kepada kita. Orang lain tidak mudah percaya kepada kata-kata yang kita keluarkan selagi mereka tidak melihat sendiri apa yang kita lakukan. Pemimpin adalah amanah kepada orang yang mereka pimpin. Pemimpin, ketua, pengarah, pentadbir atau pengurus dan sebagainya diamanahkan untuk membangun dan memajukan orang di bawah jagaan mereka. 

Seorang guru yang sentiasa mengajar seperti yang ditetapkan oleh peraturan sekolah tanpa sedikit pun menggunakan waktu untuk kepentingan peribadi akan menjadi guru yang dipercayai atau beramanah oleh orang lain seperti guru besar, rakan pengajar dan pelajar. Pegawai awam merupakan pemegang amanah yang sangat besar. Mereka diberi amanah oleh kerajaan dan masyarakat bagi memastikan segala urusan dan kepentingan masyarakat diurus dengan baik. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan pemecahan amanah dan bertentangan dengan aspirasi masyarakat. Tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan hendaklah berasaskan kepentingan masyarakat bukan kepentingan peribadi.


3) Menghargai Masa 

Masa itu emas, maksudnya sangat berharga. Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Orang berintegriti sangat menjaga dan menghargai masa. Mereka bukan sahaja tidak suka membazir waktu yang diguna untuk dirinya sendiri malah waktu orang lain juga. Biarlah masa yang ada digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan organisasi. Jika kita merupakan pekerja di sebuah agensi kerajaan atau swasta sering membazirkan masa dalam waktu kerja sudah tentu akan menjejaskan produktiviti dan matlamat organisasi tidak mampu dicapai dalam tempoh yang ditetapkan. 

Pekerja yang sentiasa menjaga masa tidak akan melakukan hal-hal negatif berkaitan dengan masa seperti melengah-lengah kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam jangka waktu yang ditetapkan, makan di kantin melebihi tempoh yang ditetapkan, menggunakan telefon untuk membincangkan hal-hal peribadi, bersembang panjang selepas habis mesyuarat, menggunakan internet untuk urusan peribadi dan sebagainya. Orang berintegriti sedar setiap kali berlaku pembaziran masa bukan sahaja boleh menjejaskan prestasinya kerja tetapi juga pekerja lain. 


4) Mengotakan Janji

Setiap kali kita berjanji kita hendaklah menunaikannya. Orang lain akan percayakan kita setelah kita mengotakan apa yang kita janjikan. Seseorang itu dinilai bukan melalui ucapan tetapi melalui tindakannya. Orang berintegriti tidak akan berjanji jika dia tidak mampu menunaikan janjinya. Seorang peniaga boleh kehilangan pelanggan setianya jika berulang kali tidak mengotakan apa yang dijanjikan kepada pelanggan. Keuntungan perniagaan akan terjejas setiap kali kehilangan pelanggan. Seorang pegawai atau pekerja mungkin tidak terpilih dalam kenaikan pangkat disebabkan dia jarang menyiapkan tugasan yang diberi dalam waktu yang dijanjikan. 

Janji melibatkan keyakinan dan harapan oleh seseorang yang kita janjikan. Seorang ayah yang berjanji membeli sebuah basikal pada hujung tahun gagal menunaikannya akan menyebabkan anaknya tidak yakin lagi kepada janji ayahnya. Seorang ketua berjanji untuk menghantar kursus ke Langkawi pada musim cuti sekolah kepada kakitangan tetapi tidak melaksanakan janjinya itu mengakibatkan harapan kakitangan itu musnah dan kecewa. Keyakinan dan harapan di kalangan orang yang dijanjikan itu mesti dijaga supaya orang yang memberi janji itu disifatkan sebagai orang berintegriti.



5) Komited

Seseorang yang beritegriti sangat komited dengan sebarang peranan yang dipikulnya. Jika dia adalah seorang pekerja, dia akan bekerja dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh sesuai dengan peranannya sebagai pekerja. Matlamatnya adalah menyelesaikan apa jua tugas yang diberikan kepadanya tanpa melengah-lengah masa atau menangguhkannya. Peniaga yang membuat pinjaman bank untuk mengembangkan perniagaannya disifatkan sebagai seorang yang komited apabila setiap nilai wang yang digunakan adalah untuk kepentingan perniagaan bukan untuk tujuan kegunaan peribadi. Orang yang tidak komited dengan dirinya bukan setakat merugikan diri sendiri bahkan juga orang lain dan organisasinya. Ini disebabkan tindakan itu boleh menjejaskan produktiviti dan kualiti produk yang dikeluarkan oleh organisasi. 

Pernah berlaku di sebuah restoran nasi kandar mengalami kekurangan pelanggan disebabkan seorang pelanggan telah menviralkan dalam media sosial tentang kekotoran tempat membasuh pinggan-mangkuk. Mereka menggunakan air kotor dari parit untuk membasuh pinggan-mangkuk tersebut. Tindakan sedemikian menggambarkan sikap pekerja dan pengurus atau pemilik yang tidak komited dengan peranan mereka. Pengurusan yang komited pastinya akan sentiasa memastikan proses mencuci menggunakan bahan-bahan termasuk air yang benar-benar bersih.  



6)  Bertanggungjawab 

Setiap pekerja dalam sesebuah organisasi adalah bertanggungjawab kepada organisasinya. Orang berintegriti melihat tanggungjawab kepada organisasinya adalah tanggungjawab semua pihak bukannya terletak pada beberapa orang atau pihak sahaja. Seorang pekerja di unit pembungkusan akan merasakan tanggungjawabnya sama penting dengan pekerja di bahagian penghantaran produk jualan kepada pelanggan. 

Setiap organisasi mempunyai matlamatnya. Pemilik organisasi akan merasa gembira apabila matlamat itu mampu dicapai dalam masa yang ditetapkan. Pencapaian tersebut merupakan satu kejayaan yang diperolehi oleh organisasi. Orang berintegriti tidak akan melihat kejayaan organisasi mencapai matlamat itu adalah milik seseorang atau pihak tertentu sahaja tetapi merupakan kejayaan bersama. Mereka berpegang kepada konsep kebersamaan dalam sebuah pasukan.

Kerugian boleh berlaku pada bila-bila masa dalam perniagaan atau syarikat. Begitu juga dalam perniagaan seperti perkhidmatan perkapalan boleh sahaja berlaku kelewatan menghantar kontena ke pelabuhan yang menyebabkan pelanggan yang menunggu tidak berpuas hati dan menuntut kerugian. Kegagalan seperti itu menyebabkan pemegang saham kecewa dan menyalahkan pekerja-pekerja yang terlibat. Orang yang yang berintegriti misalnya pengarah urusan perkapalan itu tidak akan turut menyalahkan pekerjanya tetapi sedia memikul beban kesusahan dan menyatakan kepada pihak atasan bahawa dia juga bertanggungjawab dengan kelewatan itu. 



7)  Murah Hati  

Bukan semua orang memiliki pengetahuan yang sama kerana ada yang kurang dan lebih. Orang berintegriti sentiasa berkongsi pengetahuan dengan orang lain. Dia merasakan orang lain juga berhak mengetahui apa yang dia tahu. Seorang pegawai yang tahu bagaimana cara hendak menterjemahkan mana-mana bahasa dengan menggunakan "Google Translate" memanggil pekerjanya dan berkongsi pengetahuan itu dengan mereka adalah satu contoh yang menunjukkan dia adalah seorang yang murah hati.  

Dalam mana-mana organisasi akan ada pekerja yang menghadapi masalah seperti tekanan perasaan, kewangan, kesihatan, keluarga dan persekitaran tempat kerja. Pekerja bermasalah memerlukan perhatian dan motivasi daripada orang lain. Orang berintegriti selalu mengambil berat dan bermurah hati terhadap orang lain yang sedang menghadapi masalah. Dia akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu mereka itu. Sekiranya didapati ada pekerjanya yang sakit diwadkan di hospital, dia akan menziarahinya sebagai tanda kebajikan. 

Biasanya terdapat kelab atau persatuan kebajikan dan sukan dalam sesebuah organisasi. Anggota dalam persatuan itu memerlukan orang yang sanggup menyumbangkan tenaganya secara sukarela bagi menjalankan aktiviti yang dirancang. Hanya bebrapa sahaja yang bermurah hati dan sanggup mengorbankan masa untuk menjayakan persatuan itu. Orang berintegriti sentiasa bersedia secara dipilih atau sukarela melibatkan dirinya demi pembangunan kelab atau persatuan. 



8)  Konsisten 

Bersikap baik perlu dilakukan setiap masa dan secara berterusan. Seseorang itu tidak boleh melakukan kebaikan dengan memilih masa atau keadaan. Orang berintegriti tetap dengan sikapnya yang konsisten walaupun dalam situasi senang atau susah. Seorang pengurus besar yang sedang dilanda masalah kemerosotan jualan kereta di kawasan utara negaranya tetap mengendalikan mesyuarat dengan pengurus-pengurusanya dengan sikap yang terbuka dan rasional. 

Produk yang dikeluarkan oleh sesebuah organisasi sama ada oleh agensi kerajaan atau swasta mengandungi dua kategori iaitu barang-barang dan perkhidmatan. Setiap produk perlu kualiti sepanjang masa supaya setiap pelanggan yang menggunakannya berpuas hati. Seorang telefonis tetap menjawab telefon kepada pelanggan dengan nada suara yang lemah lembut dan jelas walaupun pada masa itu dia sedang menghadapi masalah besar dengan suaminya. Sikapnya ini mencerminkan beliau adalah pekerja yang berintegriti. 

Dasar merupakan suatu ketetapan yang diwujud dalam sesebuah organisasi untuk dipegang oleh anggota-anggotanya dalam satu jangka masa yang ditetapkan. Dasar bertujuan menyelaraskan semua keputusan dan aktiviti yang dijalankan bagi memantapkan organisasi dan meningkatkan produktiviti. Orang berintegriti tidak akan merubahkan dasar organisasinya untuk kepentingan peribadi dan sentiasa menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengannya.



9)  Kemanusiaan

Kita berada dalam dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kelompok yang berbeza budaya. Orang berintegriti percaya dengan mengambilkira perbezaan itu akan memberi kesan baik kepada dirinya dan orang lain. Menghormati perbezaan budaya akan mewujudkan perasaan saling hormati menghormati antara satu sama lain dan ini sudah tentu akan mempertingkatkan perpaduan di kalangan individu dalam sesebuah organisasi dan masyarakat.

Empati di kalangan pekerja adalah digalakkan. Apabila kita berdepan dengan pelanggan katakan seorang pesakit demam yang menunggu giliran dipanggil namanya untuk berjumpa doktor. Pesakit itu tentu merasa puas hati jika selama dia menunggu di situ disediakan kemudahan seperti television atau radio bagi mengelakkan kebosanan sepanjang tempoh menunggu itu. Kita boleh melihat dari sudut psikologi iaitu seandainya kita menjadi pesakit itu sudah tentu kita juga akan merasa terhibur sepanjang tempoh penungguan itu.

Pekerja berintegriti sentiasa memiliki nilai kemanusiaan tinggi yang cintakan kedamaian. Sebarang pertelingkahan dan konflik yang boleh menjejaskan keharmonian organisasi akan diselesaikan dengan baik. Ketiadaan kedamaian dalam organisasi bukan sahaja memberi kesan tidak baik dari segi hubungan sesama pekerja tetapi juga boleh menjejaskan kualiti dan produktiviti. Menyintai kedamaian perlu dimiliki oleh semua pekerja bagi meujudkan persekitaran seronok bekerja.


10) Rendah Hati

Persekitaran kerja di kalangan pekerja menjadi lebih menarik dan harmoni apabila setiap pekerja tanpa mengira pangkat mangamalkan sikap rendah hati. Sikap ini perlu merangkumi dalam melayani pelanggan yang berurusan dengan kita. Seorang penumpang menghadapi masalah berkenaan pasport di lapangan terbang. Dia melihat seorang pegawai imigresen dan terus bertanya dan menceritakan masalahnya dan dalam masa yang sama dia tidak tahu yang ditanya itu meupakan pegawai imigresen berpangkat tinggi. Pegawai imigresen itu dengan murah hati dan tenang melayani dan memberi jalan penyelesaian sehingga penumpang itu sangat berpuas hati. 

Sikap diplomasi atau berintraksi dengan cara baik sesama pekerja amat dituntut terutamanya mereka yang berjawatan lebih tinggi ketika berintraksi dengan pekerja bawahannya. Kita tidak perlu meninggi-ninggikan suara untuk menyampaikan sebarang arahan atau maklumat kerana pekerja juga ingin mereka dihormati oleh pihak atasannya. Diplomasi merupakan salah satu ciri-ciri rendah hati yang perlu diamalkan dalam sesebuah organisasi. Seorang pengurus yang selalu bersikap diplomasi dengan pekerjanya bukan sahaja dihormati tetapi boleh menaikkan semangat kerja berpasukan sehingga boleh merpertingkatkan produktiviti.

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan dalam pelbagai aspek seperti tahap pendidikan, pangkat, kekayaan, kebolehan dan rupa. Kelebihan yang ada pada kita tidak perlu kita beritahu atau tunjuk kepada orang lain dengan perasaan bangga. Orang berintegriti tidak akan menonjolkan kelebihannya dan mendedahkan kelemahan pekerja lain dalam apa situasi pun. Kita pernah mendengar keluhan pekerja bawahan yang dimarahi ketuanya yang menyentuh kekurangan bawahannya seperti dengan berkata awak hanya mempunyai kelulusan diploma dan saya mempunyai ijazah sarjana atau master. Awak tidak sebijak saya untuk menyelesaikan masalah itu dan sebab itulah orang suruh kita belajar tinggi-tinggi. Pekerja berintegriti perlu sentiasa bersikap rendah hati bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih ceria.


PENUTUP

Integriti di kalangan semua peringkat pekerja dalam sesebuah organisasi bukan sahaja merupakan amalan penting kepada individu tetapi juga memberi impak kepada organisasi itu sendiri terutamanya dari segi pencapaian matlamat, produktiviti dan kepuasan pelanggan terhadap produk yang dikeluarkan. 






Rujukan:


Manjit Monga, Meaning of Integrity From The Upper Echelons' Perspective, University of South Australia, 2016.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014.


Pelan Integriti Nasional (PIN), 2004

Pelan Integriti Maktab Koperasi Malaysia 2017 - 2020

Nurzatil Ismah Azizan, Sahlawati Abu Bakar, Mariam Abd. Majid, Aza Shahnaz Azman, Mazlina Che Malik, Hairol Nizam Wahid, "Konsep Amanah Menurut Perspektif Hadith," Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. 





Andy Roddick

In May of 2005 American professional tennis player Andy Roddick was playing Fernando Verdasco, of Spain, in the round of 16 at the Italia Masters tennis tournament in Rome, Italy.  Roddick was the number one seed in the tournament and a heavy favorite to win the match and advance. 

8. KEPIMPINAN DALAM PELBAGAI BUDAYA

PENGENALAN

Setiap pemimpin di mana-mana negara ingin menjadikan organisasi atau pertubuhan dalam masyarakat yang dipimpinnya berkembang maju dan makmur. Pada masa ini terdapat sebanyak 195 negara di dunia dengan jumlah penduduk seramai 7.73 bilion. Antara 10 negara yang mempunyai tahap kepelbagaian budaya paling tinggi adalah India, Kanada, Australia, Ethiopia, Papua New Guinea, Indonesia, Filipina, Nigeria, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Kepelbagaian budaya itu dilihat dari sudut iklim, lanskap, bahasa, adat, agama, masakan, hidupan liar, pakaian, bentuk rumah dan fizikal seseorang. Malaysia menduduki tempat yang ke-13 dalam senarai kepelbagaian budaya dunia. Pemimpin dari semua peringkat lapisan masyarakat harus memainkan peranan yang berkesan dalam memastikan hasrat menjadikan negara maju dan makmur tercapai. 


MATLAMAT NEGARA

Kerajaan yang memimpin sesebuah negara mempunyai matlamat yang hendak dicapai dan dari aspek manakah lebih diutamakan adalah bergantung kepada kedudukan sosial, ekonomi dan politik negara berkenaan. Pada dasarnya kita boleh bahagikan kepada empat matlamat utama negara: 

1) Mengeratkan Perpaduan Masyarakat 

Perpaduan di kalangan masyarakat dalam sesebuah negara terutamanya negara yang mempunyai berbilang etnik, agama dan budaya merupakan teras kepada kemajuan negara. Semakin tinggi perpaduan wujud di kalangan penduduk semakin cepat negara mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negara maju dan makmur. Pergeseran dan perpecahan etnik tidak menyumbang kepada kemajuan bahkan boleh membawa kepada ketidakstabilan dan kemunduran negara. Faktor penting dalam perpaduan masyarakat adalah sikap tolenrasi dan tolong-menolong antara semua pihak. 


2) Meningkatkan Pembangunan Infrastruktur

Pembangunan infrastruktur yang pesat dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan membangunkan ekonomi negara. Kekurangan dan kelemahan dalam pembangunan infrastruktur akan memberi kesan negatif kepada pelaburan dalam dan luar negara. Ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi lembab dan boleh mengurangkan taraf hidup rakyat. Aspek pembangunan infrastruktur yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan swasta seperti pengangkutan darat, laut dan udara; bekalan air, elektrik, media dan telekomunikasi; pendidikan, kesihatan, pasar awam, pusat sukan dan tempat rekreasi.


3) Mengurangkan Kadar Jenayah

Kadar jenayah yang rendah merupakan ukuran utama bagi menunjuk negara itu aman dan damai. Kerajaan perlu bertindak secara reaktif dan proaktif untuk mencegah, mengawal dan mengurangi kadar jenayah. Menurut kajian Numbeo (2019), indeks jenayah paling rendah dunia pada pertengahan tahun 2019 adalah Qatar (12.00%), United Arab Emirates (15.52%) dan Jepun (15.91%). Manakala indeks jenayah paling tinggi adalah Venezuela (84.86%), Papua New Guinea (80.26%) dan Honduras (75.85%). Malaysia (60.66%) menduduki tempat ke-20 daripada 195 negara dalam senarai indeks jenayah. Kejayaan kerajaan dan semua pihak mengurangkan kadar jenayah akan menarik lebih banyak pelaburan dan pelancong dari luar negara. Ini boleh menyumbang kepada kemajuan negara dan kemakmuran rakyat.


4) Menjamin Keadilan Masyarakat

Setiap warga negara ingin diberi layanan yang saksama oleh pemerintah. Keadilan adalah dalam aspek pendidikan, kesihatan, kemudahan awam, perniagaan dan penguatkuasaan undang-undang. Layanan yang tidak adil terhadap masyarakat akan menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh golongan tertentu dan boleh menyebabkan keharmonian dalam masyarakat terjejas. Memberi keadilan untuk rakyat dapat menjadikan negara lebih berkembang maju dan harmoni. Dasar negara yang mendiskriminasikan etnik dan bangsa harus dielak dan dihapuskan. Contoh negara yang mengamalkan dasar diskriminasi bangsa adalah Afrika Selatan iaitu dasar Apartheid. Dasar itu diperkenalkan pada tahun 1948 dan dihapuskan pada tahun 1994 disebabkan mendapat tentangan kuat daripada penduduk Afrika Selatan.


HUBUNGAN ANTARA KEPIMPINAN DAN BUDAYA

Perubahan global yang berlaku seperti perubahan teknologi, komunikasi, pengangkutan, pertumbuhan ekonomi, perdagangan bebas, pemerintahan, alam sekitar, pelaburan, taraf hidup dan sebagainya memberi impak kepada kepimpinan dan budaya yang sudah wujud dalam sesebuah negara. Kepantasan perubahan global itu terutamanya dalam bidang teknologi dan komunikasi akan mempengaruhi budaya masyarakat dan organisasi seperti kata seorang CEO YouTube, Susan Wojcicki, "Dari telefon kepada kereta kepada ubat-ubatan, teknologi menyentuh setiap aspek kehidupan kita. Jika anda boleh membuat teknologi, anda boleh mengubah dunia." Pemimpin dalam masyarakat atau organisasi yang mempunyai kepelbagaian budaya perlu mengambil kira setiap perubahan berlaku secara global itu. Ini bertujuan untuk memastikan kepimpinan yang dilaksanakan boleh mencapai hasil yang baik kepada masyarakat atau organisasi. 


PENGERTIAN BUDAYA

Pengertian budaya agak banyak dan bergantung kepada latar belakang penulis seperti perbezaan dari segi negara, bangsa dan agama. Antara beberapa pengertian seperti, budaya adalah satu set sikap, nilai, kepercayaan dan tingkah laku yang dikongsi oleh sekumpulan orang, tetapi berbeza untuk setiap individu, disampaikan dari satu generasi ke generasi berikutnya (Matsumoto, 1996). Budaya bermaksud sesuatu pembelajaran, kepercayaan, amalan, tingkah laku, simbol dan sikap yang merupakan ciri-ciri yang ada dan digunakan oleh sesetengah kumpulan masyarakat (Kosmitzki C. dan Gardiner H.W., 2008). Budaya merupakan satu set sikap, tingkah laku dan simbol yang dikongsi oleh kelompok manusia yang besar dan seringkali disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain (Shiraev & Levy, 2010). Secara umumnya budaya adalah suatu sikap, amalan, nilai dan kepercayaan yang menjadi kebiasaan dalam kumpulan masyarakat yang diturunkan dari satu generasi ke generasi.


CIRI-CIRI KEPELBAGAIAN BUDAYA

Kepimpinan berlaku dalam masyarakat dan organisasi. Kepimpinan dalam masyarakat ditentukan oleh saiz kawasan dan kuasa seperti kawasan taman perumahan, kampung, bandar, daerah, negeri, wilayah dan negara. Bagi kepimpinan dalam organisasi termasuk organisasi kecil, sederhana dan besar. Sama ada kepimpinan dalam masyarakat atau organisasi pemimpin sering berdepan dengan orang yang dipimpinnya mempunyai pelbagai budaya. Antara ciri-ciri kepelbagaian budaya adalah seperti di bawah:

1) Bangsa

Menurut kajian kebanyakan ahli antropologi menyatakan pada awalnya manusia terdiri daripada tiga kelompok bangsa iaitu bangsa Caucasian, Mongoloid dan Negroid. Meyers Konversationslexikon (1885-90) menyenaraikan bangsa Caucasian terdiri daripada Aryan, Hamit, Semit. Bangsa Mongoloid termasuklah Mongol utara, Cina dan Indo-Cina, Jepun dan Korea, Tibet, Malayan, Polynesian, Maori, Micronesian, Eskimos, American Indian. Bangsa Negroid mengandungi African, Hottentots, Melanesian / Papua, Negrito, Aborigine Australia, Dravidian dan Sinhala. Bangsa-bangsa tersebut berpecah pula kepada kelompok-kelompok kecil yang dapat dibahagikan kepada 30 sub kumpulan lagi.


2) Bahasa 

Menurut Ethnologue (2019), kini sejumlah 7111 bahasa dapat dikesan di seluruh dunia. Kira-kira 40% bahasa digunakan oleh kurang daripada 1000 penutur dan sedang diancam bahaya kepupusan. Jumlah penutur bahasa di seluruh dunia adalah tidak seimbang. Hanya 23 bahasa yang digunakan oleh separuh penduduk dunia. Sementara itu sepuluh bahasa paling ramai penutur di seluruh dunia adalah bahasa Inggeris (1.132 bilion), Mandarin (1.117 bilion), Hindi (615 juta), Spanyol (534 juta), Perancis (280 juta), Arab (274 juta), Benggali (265 juta), Russia (258 juta), Portugis (234 juta) dan Indonesia (199 juta). 


3) Agama

Agama terus memainkan peranan penting dalam masyarakat semenjak ribuan tahun dahulu hingga ke hari ini. Sekurang-kurangnya 6 bilion orang di seluruh dunia tergolong dalam kepercayaan agama, dan lebih daripada 57% penduduk dunia adalah sama ada orang Kristian atau Muslim (Swedish Nomad, 2019). Jumlah penganut paling ramai di seluruh dunia adalah agama Kristian (2.4 bilion), diikuti oleh Islam (1.8 bilion), tidak beragama (1.2 bilion), Hindu (1.1 bilion), Buddhist (500 juta), agama rakyat (400 juta), Yahudi (10 juta) dan agama-agama lain (100 juta) (Pew Research Center, 2017).


4) Pakaian Tradisional

Pakaian traditional melambangkan identiti budaya masyarakat sesebuah negara dan mempunyai nilai-nila simbolik yang menarik. Setiap bangsa dan etnik mempunyai pakaian tradisional yang dibanggakan. Pakaian tradisional digunakan pada masa-masa tertentu seperti menyambut perayaan keagamaan, majlis perkahwinan, majlis sambutan kebesaran negara dan persembahan kebudayaan. 


5) Makanan

Tidak ada cinta yang ikhlas daripada cinta kepada makanan (George Bernard Shaw). Pelbagai jenis makanan boleh dinikmati di seluruh pelusuk dunia. Setiap masyarakat memiliki makanan untuk dijadikan sebagai santapan harian mereka. Bukan semua makanan boleh dimakan oleh semua masyarakat. Penganut agama tidak makan makanan yang tidak dibenar oleh ajaran yang terkandung dalam agama mereka. Bagi penganut Islam, mereka diwajibkan makan makanan yang halal dan penganut agama Hindu dilarang makan daging lembu. Secara umumnya makanan yang paling ramai dimakan oleh penduduk dunia berasaskan beras dan gandum. 


6) Kesenian

Kepelbagaian budaya juga melibatkan kesenian. Kesenian meliputi tarian, lukisan, hiburan, seni bina, alat muzik, lagu, seni pertahanan diri dan permainan rakyat. Setiap etnik sejak berzaman telah mencipta kesenian tersebut sebagai hiburan dan upacara semasa perayaan. Sehingga kini kebanyakan kesenian tersebut masih lagi dipelihara dan dilaksanakan.


PENGERTIAN KEPIMPINAN

Kebanyakan penulis melihat kepimpinan yang mempunyai unsur-unsur penting seperti suatu proses, mempengaruhi dan matlamat organisasi. Swansburgh (1995) menyatakan kepemimpinan merupakan suatu proses mempengaruhi seseorang atau kelompok untuk mencapai tujuan organisasi. Kepemimpinan adalah kegiatan mempengaruhi orang lain untuk lebih berupaya dalam mengarahkan tenaga berkaitan tugasnya atau mengubah perilaku mereka (Wexley dan Yuki, 1977). Kepimpinan adalah kemampuan seseorang mempengaruhi pasukan kerja ke arah pencapaian matlamat organisasi (Robbins, 2001). Kita boleh merumuskan kepimpinan merupakan kebolehan individu mempengaruhi orang di bawah pimpinannya untuk mencapai matlamat organisasi. 


CIRI-CIRI KEPIMPINAN DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA

Memimpin sebuah masyarakat atau organisasi yang mengandungi pelbagai budaya memerlukan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkasan supaya segala matlamat yang ditetapkan boleh dicapai. Antara ciri-ciri tersebut adalah seperti di bawah:

1) Kesedaran

Mereka yang diberi tanggungjawab menjadi pemimpin dalam organisasi pelbagai budaya harus mempunyai kesedaran dan gambaran yang jelas tentang latar belakang dan kedudukan orang-orang di bawah jagaannya. Kesedaran dan  sedia menerima kenyataan boleh membantu pemimpin untuk membuat keputusan dan tindakan yang lebih tepat. Kesilapan dalam membuat keputusan menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan bawahan dan menjejaskan keharmonian. Ini boleh membawa kepada penurunan produktiviti organisasi dan jika berlaku dalam masyarakat tentunya boleh menjejaskan kemakmuran negara. 



2) Toleransi

Pemimpin yang bersikap toleransi dan terbuka dalam memimpin bawahan mereka merupakan pemangkin kepada kejayaan bagi mencapai matlamat organisasi. Pekerja merasakan diri mereka diberi pertimbangan dan dihargai akan membalasnya dengan  cara mempertingkatkan lagi prestasi kerja mereka. Pemimpin yang tidak bertolenrasi boleh menyebabkan semangat kekitaan dan kerja secara berpasukan di kalangan pekerja merosot. Hubungan yang tidak harmoni sesama pekerja akibat ketiadaan tolenrasi menjejaskan kualiti dan produktiviti organisasi. Pemimpin yang membuat keputusan dengan mengambilkira kira elemen tolenrasi mungkin tidak dapat menyenangkan beberapa bawahan dalam jangka pendek tetapi dalam panjang panjang akan memberi kebaikan dan kelebihan kepada organisasi atau masyarakat.  


3) Integriti

Semua pengikut atau kakitangan dalam sesebuah organisasi sangat mengharapkan pemimpin mereka memiliki integriti yang tinggi. Pemimpin yang jujur dan berintegriti akan dapat mewujudkan hubungan baik dan saling hormat-menghormati di kalangan semua lapisan peringkat dalam organisasi. Menurut Eisenhower, kualiti tertinggi yang tidak boleh dinafikan untuk kepimpinan adalah integriti. Tanpanya, tidak mungkin wujud kejayaan sebenar, tidak kira sama ada ia berada dalam satu pasukan, di padang bola sepak, dalam angkatan tentera atau di pejabat. Integriti dalam kepimpinan memerlukan mereka bertindak jujur dan amanah mengikut bidang kuasa, tiada konflik peribadi dan berani bertanggungjawab dengan keputusannya. Pemimpin yang berintegriti dalam memimpin organisasi yang mempunyai kepelbagaian budaya akan mampu mencapai matlamat organisasi dalam tempoh yang telah ditetapkan.


4) Komunikasi

Apabila pemimipin sudah mempunyai visi, matlamat dan strategi yang jelas, mereka harus menyampaikan pula kepada pasukan mereka. Komunikasi yang baik dapat memudah dan melancarkan semua tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pelbagai bahagian dalam organisasi bagi memastikan matlamat tercapai. Kini terdapat banyak kaedah berkesan untuk berkomunikasi seperti kaedah lisan (taklimat, mesyuarat, ceramah, seminar), kaedah bertulis (memo, surat, laporan, minit mesyuarat, buku peraturan), kaedah elektronik (emel, mesej, media sosial, laman web), kaedah visual (peta, simbol, penunjuk arah, diagram) dan kaedah bahasa badan (muka, mata, mulut, tangan, kaki). Pemimpin selaku pengantara perlu memilih dan menggunakan kaedah yang paling sesuai dengan latar belakang pekerja dan persekitaran yang ada. Ini bertujuan untuk menyalurkan maklumat yang jelas bagi melancarkan proses kerja dan pencapaian matlamat.


5) Kecerdasan


Kecerdasan atau inteligen bermaksud kemampuan individu untuk memberi tindak balas yang tepat terhadap stimulus yang diterimanya (Edward Thorndike, 1913). Menurut Piaget (1950), kecerdasan adalah kebolehan individu membuat adaptasi pada persekitaran fizikal dan sosial. Walaupun terdapat beberapa jenis kecerdasan, pemimpin perlu memberi penekanan kepada tiga jenis yang asas iaitu kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ). Kecerdasan tersebut merupakan keupayaan pemimpin untuk menangani emosi sendiri dan juga menafsirkan emosi pengikut atau pekerja bagi membangun hubungan yang berkesan. Kemahiran kecerdasan dapat membina perpaduan dan memotivasi pekerja. Pemimpin yang mempunyai kecerdasan yang baik sering mempamerkan kepimpinan yang berkesan sehingga mampu meningkatkan kualiti produk dan produktiviti pekerja.


6) Hubungan      


Hubungan baik antara pemimpin dengan orang yang mereka pimpin amat penting dalam sesebuah organisasi atau pertubuhan dalam masyarakat. Pemimpin yang efektif tidak menunggu bawahan mereka datang mencari mereka tetapi pemimpinlah yang harus mendampingi mereka. Semasa bertemu bawahan, pemimpin perlu bertanya soalan yang relevan dan hendaklah menjadi pendengar yang baik apabila diberi jawapan atau pandangan. Selain itu pemimpin juga harus mengambil berat tentang masalah, kebajikan, memberi motivasi, tunjuk ajar dan sentiasa bersedia untuk membantu bawahan mereka. Apabila bawahan sudah boleh menerima dan percaya kepada pemimpin bererti hubungan baik antara dua pihak sudah terjalin dan perlu dikekal berpanjangan. Hubungan baik ini menjadikan pekerja akan bekerja dengan sepenuh usaha dan tenaga. Suasana begini memberi kesan yang baik kepada organisasi dan mampu mencapai matlamat seperti yang disasarkan.  


7) Visi

Visi adalah suatu bentuk kepimpinan di mana pemimpin bervisi mengubah budaya organisasi untuk membawa anggota organisasi supaya memahami, menerima dan melaksanakan rancangannya untuk organisasi (Hunt 1991 dan Sashkin 1988). Pemimpin bervisi akan berkongsi visinya dengan anggota organisasi. Gambaran arah tuju yang dipamerkan melalui pernyataan visi memberi manfaat dari segi kejelasan, proses kerja, kerjasama, fokus dan penyelarasan. Visi yang merupakan apa yang pemimpin bayangkan hendaklah diikuti dengan tindakan. Pemimpin bervisi akan memimpin anggota organisasi mereka dengan menerapkan budaya yang positif supaya lebih cekap dan berkesan. Kepimpinan merupakan suatu proses yang mesti dipelajari bagi menambahkan kapasiti dalam memimpin pekerja. Organisasi akan berkembang lebih maju apabila kapasiti kepimpinan yang dimiliki oleh pemimpin berkembang. 


RUMUSAN

Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi budaya kepimpinan yang ditinggalkan oleh pemimpin akan kekal lama. Biarlah kepimpinan yang kita terima itu dapat membantu organisasi dan masyarakat bergerak ke arah kemajuan dan kemakmuran negara seperti kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.   


Sunday, November 24, 2019

7. PERUSAHAAN PENJARA MALAYSIA

Perusahaan penjara (prison industry) di institusi penjara Malaysia bermula semenjak lama dahulu iaitu ketika penjajah British membina penjara-penjara lama seperti Penjara Taiping (1849), Penjara Pulau Pinang (1879) dan lain-lain penjara. Aktiviti yang dilakukan oleh banduan dalam perusahaan penjara adalah berbentuk asas seperti bengkel (workshop) kayu, rotan, kimpalan, masakan, jahit, percetakan dan dobi (laundary). Pada masa ini perusahaan seperti itu masih lagi beroperasi tetapi beberapa perusahaan baru telah diperkenalkan. 

I. KATEGORI PERUSAHAAN PENJARA

Perusahaan penjara mempunyai enam kategori:

(1) Makanan
a) Pastri
b) Makanan sejuk-beku
c) Sos cili
d) Kicap soya
e) Roti 

(2) Fabrik
a) Sarung tenun
b) Songket
c) Batik

(3) Pembuatan
a) Besi
b) Kayu
c) Rotan
d) Simen fero
e) Automotif
f) Sabun

(4) Penternakan 
a) Lembu
b) Kambing
c) Ikan air tawar
d) Madu kelulut

(5) Pertanian 

a) Sayuran
b) Buah-buahan
c) Taugeh
d) Cili fertigasi

(6) Perkhidmatan
a) Dobi
b) Jahitan
c) Spa
d) Sulaman
e) Refleksologi


II. PEMBAYARAN UPAH


(1) Sistem Peringkat Progresif (SPP)

a) Peringkat Pertama - RM5 bulan pertama, RM1 bulan kedua dan selanjutnya.
b) Peringkat Kedua - RM0.30 sehari.   
c) Peringkat Ketiga - RM0.60 sehari
d) Peringkat Keempat - RM0.80 sehari
e) Peringkat Khas - RM1.00 sehari
f) Peringkat Reman - RM0.30 sehari

(2) Insentif Akaun Amanah (IAA) dan Insentif Usaha Sama (IUS)

a) Mahir - RM10.00 sehari
b) Separa Mahir Tahap 2 - RM5.00 sehari
c) Separa Mahir Tahap 1 - RM3.00 sehari
d) Kurang Mahir - Ikut SPP
e) Kadar Rata - Tidak melebihi RM1.00 per kuantiti.















6. SISTEM KEADILAN JENAYAH

Definisi 

Sistem keadilan jenayah merupakan sistem penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan penangkapan, pendakwaan, pembelaan, penghukuman dan pemenjaraan ke atas penjenayah. Sistem ini memberi jaminan kepada masyarakat bahawa setiap orang yang melanggar undang-undang jenayah atau penjenayah tidak boleh terlepas daripada tindakan undang-undang ke atas mereka. Penjenayah hendaklah bertanggungjawab dengan setiap jenayah yang dilakukan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan ke atas mereka. Pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan sistem ini adalah terdiri daripada beberapa agensi atau jabatan seperti polis, pendakwa raya, mahkamah, penjara dan lain-lain.


Tujuan Sistem Keadilan Jenayah

Sistem keadilan jenayah mempunyai beberapa tujuan seperti berikut:

a) Menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat

b) Mencegah dan mengurangi jenayah

c) Mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah

d) Memulihkan pesalah supaya menjadi warga yang berguna



Proses Keadilan Jenayah

Keadilan jenayah merupakan satu proses yang melibatkan langkah demi langkah bermula dengan penyiasatan terhadap penjenayah sehinggalah kepada pembebasan sabitan itu daripada penjara. Antara langkah yang diambil dalam proses sesuatu kes jenayah adalah seperti berikut:

a) Siasatan

Polis akan bertindak menjalankan siasatan apabila berlaku sesuatu jenayah. Ia bertujuan untuk mengumpulkan bukti bagi mengenalpasti sama ada jenayah itu wujud atau tidak. Jika didapati wujud, siasatan akan diteruskan lagi bagi menambahkan bukti untuk membolehkan penangkapan dilakukan. Kadang-kadang siasatan yang dijalankan memerlukan pemeriksaan terhadap seseorang atau harta benda. Sebab kemungkinan merupakan bukti standard yang digunakan dalam menjalankan sesuatu pemeriksaan.


b) Penangkapan

Polis akan menangkap seseorang yang disyaki melakukan jenayah. Ini termasuk tindakan menahan mereka di lokap polis bagi tujuan siasatan lanjut dan pendakwaan. Sebab kemungkinan merupakan keperluan perundangan dalam setiap penangkapan. Ia bermaksud terdapat hubungan yang munasabah antara seseorang penjenayah dengan kesalahan jenayah yang dilakukannya.


c) Pendakwaan

Pendakwaan merupakan institusi yang melaksanakan tindakan undang-undang dengan mendakwa tertuduh kerana melakukan kesalahan jenayah. Pendakwa raya akan membuat pendakwaan setelah medapat bukti yang kukuh daripada pihak polis yang menyoal siasat tertuduh dan keterangan daripada saksi.


d) Runding Akuan

Tertuduh diberi peluang untuk membuat runding akuan (plea bargain) iaitu ia bersetuju untuk mengaku bersalah dan sebagai ganjaran hukuman yang yang lebih ringan akan dijatuhkan ke atasnya. Rundingan antara tertuduh dengan pendakwa raya akan dilakukan di kamar hakim. Sebarang keputusan yang dicapai akan dijadikan sebagai asas untuk menjatuhkan hukuman oleh hakim dalam perbicaraan nanti.


e) Perbicaraan

Tertuduh akan dibicarakan di mahkamah. Pendakwa raya akan mengemukakan bukti dan saksi untuk memberi keterangan bagi menguatkan hujah-hujah pendakwaan. Pihak tertuduh mungkin akan memberi keterangan melalui peguam atau tanpa khidmat peguam. Sepanjang perbicaraan tersebut, hakim akan mendengar dan meneliti segala hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman.


f) Penghukuman

Penghukuman ke atas tertuduh akan dibuat oleh hakim. Sekiranya tertuduh didapati tidak bersalah ia akan dibebaskan tetapi jika didapati bersalah ia mungkin boleh didenda, pengawasan, kehadiran wajib (khidmat masyarakat) atau penjara.


g) Rayuan

Pendakwa raya atau tertuduh yang tidak berpuas hati dengan hukuman dijatuhkan oleh hakim boleh membuat rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi bagi tujuan supaya sesuatu kes itu didengar semula.


h) Hukuman dan Pemulihan

Tertuduh yang dijatuhkan hukuman penjara akan ditahan di sesebuah penjara berdasarkan tempoh masa yang diperintahkan oleh hakim. Ia dikenali sebagai banduan dan semasa dalam penjara ia tidak boleh dibebaskan sehinggalah tamat hukuman. Sepanjang tempoh penahanan ia akan tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang yang ditadbir oleh pihak berkuasa penjara. Dalam masa tersebut ia harus mengikuti semua program pemulihan yang dilaksanakan ke atasnya. Pemulihan bertujuan untuk memastikan banduan yang dibebaskan dari penjara akan dapat berdikari dan tidak mengulangi semula kesalahan jenayah.



Komponen Sistem Keadilan Jenayah

Sistem keadilan jenayah terdiri daripada beberapa agensi atau jabatan  yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab. Pada dasarnya ia mengandungi tiga komponen utama iaitu:




a) Polis

Polis merupakan pihak yang mula-mula berdepan dengan penjenayah dan mangsa jenayah. Tugas dan tanggungjawab polis ialah menjaga keamanan, melindungi masyarakat, mencegah dan mengurangi jenayah. Seseorang yang disyaki melakukan jenayah akan disiasat dan ditangkap oleh polis atau penguatkuasa lain. Penggunaan kekerasan kadangkala terpaksa dilakukan untuk membuat sesuatu tangkapan ke atas penjenayah terutamanya jika didapati ia sangat merbahaya dan boleh mencedera atau mengancam nyawa orang lain. Setelah tngkapan dibuat tertuduh mungkin dilepaskan tanpa sebarang tindakan, dilepaskan dengan jaminan atau ditahan untuk siasatan lanjut. Polis akan merujuk kepada pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan dan keputusan sama ada tertuduh perlu didakwa di mahkamah atau tidak adalah bergantung kepada budi bicara pihak pendakwa raya.


b) Mahkamah



Tertuduh yang diputuskan untuk didakwa akan dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan. Hakim akan mendengar dan meneliti semua tuduhan yang dibuat ke atas tertuduh oleh pihak pendakwa.  Keputusan boleh dibuat dengan cepat jika tertuduh mengaku bersalah. Akan tetapi jika tertuduh tidak mengaku salah dan ia menggunakan perkhidmatan peguam bela maka perbicaraan biasanya akan mengambil masa yang lebih lama. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bergantung kepada kategori kesalahan. Bagi kes jenayah berat seperti bunuh, cubaan bunuh, merompak, menyamun atau rogol, lazimnya hakim akan menjatuhkan hukuman penjara yang lebih berat kepada tertuduh. Antara tugas hakim yang paling rumit ialah pada ketika hendak memutus dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. Disebabkan oleh perkara tersebut kebanyakan hakim berpegang kepada prinsip iaitu biar 10 orang bersalah dibebaskan berbanding jika seorang yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman bersalah. 


c) Penjara

Hanya mahkamah yang boleh menjatuhkan hukuman penjara ke atas seseorang yang dituduh melakukan kesalahan jenayah setelah melalui proses perbicaraan. Tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara dikenali sebagai banduan. Terdapat tiga tujuan utama hukuman penjara iaitu sebagai pembalasan, pengajaran dan pemulihan. Peranan penting yang perlu dilaksanakan oleh pihak penjara ialah menahan, melindungi dan memulihkan banduan. Semasa berada di penjara mereka akan melalui beberapa program sebelum dibebas  atau kembali semula ke pangkuan masyarakat. Antara program tersebut ialah orientasi, pembentukan personaliti, latihan kemahiran dan pemasyarakatan. . Setengah banduan yang cukup syarat seperti terdapat dalam sistem ampun dan parol layak dibebaskan lebih awal.


Rujukan:



15. PENGERTIAN PENJARA

Istilah penjara diterjemahkan dari bahasa Inggeris iaitu “prison”. Perkataan "prison" pertama kali muncul dalam bahasa Inggeris pa...